1MDB ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sentimen pasaran yang berhati-hati dijangka akan  mempengaruhi pergerakan ringgit berbanding dolar US pada minggu depan, dengan faktor luaran kekal sebagai punca utama.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur akan memantau hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS), yang dijadualkan pada 13 dan 14 Jun ini, yang akan memberi isyarat hala tuju selanjutnya dolar US.

Pasaran dalam minggu ini telah menyaksikan tindakan luar jangkaan Reserve Bank of Australia dan Bank of Canada yang menaikkan kadar dasar mereka sebanyak 25 mata asas (bps).

“Jadi sudah wujud persepsi bahawa kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengikuti langkah tersebut kerana ada dalam kalangan ahlinya masih bersandar kepada pendirian yang agak agresif.

“Sehubungan itu, ringgit berbanding dolar US dijangka kekal dalam jajaran kecil antara 4.60 hingga 4.61 minggu depan kerana peserta pasaran mengamalkan sikap tunggu dan lihat di samping mendapatkan panduan daripada Fed berhubung hala tuju kadar faedah selain, sama ada Fed benar-benar terbuka kepada idea naratif yang lebih tinggi, ” katanya kepada Bernama.

Konsensus pasaran menjangkakan bank pusat AS akan mengekalkan pendiriannya dengan meningkatkan Kadar Dana Fed sebanyak 25 bps.

Sekiranya ianya menjadi realiti, ini bermakna Fed telah menambah kadar dasar sebanyak 525 bps dalam tempoh 16 bulan iaitu kurang daripada kitaran semasa kenaikan kadar faedah sebelumnya iaitu dari Jun 2004 hingga Jun 2006, yang mana hanya sejumlah 425 bps dinaikkan, tambah Mohd Afzanizam.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, menekankan di Parlimen bahawa penyusutan nilai ringgit baru-baru ini telah disebabkan oleh kenaikan kadar faedah di AS.

Beliau menjelaskan ringgit bukan satu-satunya mata wang di rantau ini yang mengalami susut nilai pada tahun ini.

Satu lagi perkembangan penting dalam minggu ini ialah pelantikan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2023.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang menamatkan tempoh perkhidmatan selama lima tahun pada 30 Jun 2023.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit adalah lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dalam tempoh empat hari dagangan. (Pasaran ditutup pada 5 Jun lepas sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.)

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah lemah berbanding dolar US kepada 4.6115/6160 daripada 4.5745/5785 yang disaksikan semasa minggu sebelum ini.

Unit tempatan itu juga susut berbanding yen Jepun kepada 3.3022/3059 daripada 3.2957/2989, merosot berbanding pound Britain kepada 5.7819/7875 daripada 5.7323/7373 dan jatuh berbanding euro kepada 4.9611/9659 daripada 4.9254/9297 sebelumnya.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang lain di Asean.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4294/4330 daripada 3.4026/4059, lemah berbanding baht Thailand kepada 13.3196/3376 daripada 13.2402/2591, lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 310.6/311.2 daripada 305.0/305.5 dan tidak bermaya berbanding peso Filipina kepada 8.23/8.24 daripada 8.18/8.19. – BERNAMA