Sebanyak 16 saman dikeluarkan terhadap 12 peserta konvoi yang menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Pulau Pinang.

BATU KAWAN – Sebanyak 16 saman dikeluarkan terhadap sekumpulan pemandu kereta yang berkonvoi sehingga menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) pada 9 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, bertindak atas maklumat pihaknya telah mengesan kesemua pemandu berkenaan menginap di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

“Pegawai penyiasat telah ke hotel berkenaan semalam kira-kira jam 2.12 petang sebelum meminta kesemua pemandu yang terlibat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

Kesemua pemandu berkenaan dikesan menginap di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

“Susulan itu, seramai 12 pemandu telah hadir hari ini dan kita mengeluarkan 16 saman terhadap kesemua mereka.

“12 saman dikeluarkan atas kesalahan halang lalu lintas manakala empat lagi atas kesalahan nombor pendaftaran fancy,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Difahamkan, mereka yang disaman terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemandu konvoi halang lalu lintas di Jambatan Kedua P.Pinang dicari

Kelmarin, tular satu rakaman video berdurasi 2.50 minit di TikTok memaparkan lebih daripada 10 buah kenderaan berkonvoi secara tiga barisan meskipun JSAHMS hanya mempunyai dua lorong.

Berdasarkan video itu, pemandu kesemua kereta tersebut bukan saja mengganggu lalu lintas malah turut menggunakan laluan kecemasan. – MalaysiaGazette