KUALA LUMPUR – Pasukan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menemui satu spesies ikan dari famili Ambassidae (glass-perchlet) yang sebelum ini tidak diketahui oleh dunia sains.
Penyelidikan itu diketuai oleh Prof. Dr. Siti Azizah Mohd Nor (UMT) dan Dr. Sébastien Lavoué (USM), kata satu kenyataan.
Penemuan Ambassis octava di muara dan kawasan pesisir pantai negeri Johor, Perak dan Pulau Pinang ini adalah lebih istimewa kerana ia menandakan penemuan pertama spesies ambassid baharu di rantau ini dalam tempoh 165 tahun.
Penemuan terakhir spesies ikan ambassid sebelum ini, Ambassis kopsii telah dilaporkan di Singapura pada 1858 manakala enam spesies lagi di dalam rantau ini telah dikenalpasti lebih awal.
Ikan ambassid dikenali sebagai ikan seriding oleh masyarakat Malaysia, kata kenyataan yang sama.
Nama spesies octava berasal daripada bahasa Latin, yang
membawa maksud kelapan – mengambil sempena spesies kelapan ikan ambassid yang dikenal pasti di Malaysia sehingga kini.
Artikel berkenaan penemuan terbaru ini telah diterbitkan di dalam jurnal Icythyological Research, sebuah jurnal saintifik antarabangsa berprestij yang disunting oleh Persatuan Iktiologi Jepun.
Pelajar falsafah kedoktoran (Ph.D.) di Institut Bioteknologi Marin (IMB), UMT, Siti Zafirah memainkan peranan yang penting dalam
penemuan yang luar biasa itu.
Siti Zafirah sedang mengkaji kepelbagaian ikan glass-perchlet di Semenanjung Malaysia dan beliau telah menggunakan kaedah taksonomi integratif yang julung kalinya digunapakai ke atas kumpulan ikan berkenaan iaitu kaedah molekul dan morfologi.
Mengimbau kembali saat penemuan spesimen Ambassis octava, Siti Zafirah teruja kerana telah menemui sesuatu yang baharu.
Sebelum penemuan Ambassis octava, hanya tujuh spesies ikan glass-perchlet yang telah didokumenkan di Semenanjung Malaysia.
Kumpulan ikan ini lebih suka hidup di dalam habitat payau, contohnya di ekosistem bakau. Ikan ini adalah tidak asing di
kalangan para nelayan kerana ia mudah dijumpai dan sering tersangkut kepada pukat menerusi duri yang tajam dan gerigi di kepala yang tajam.
Felo penyelidik utama di IMB, UMT, Prof. Dr. Siti Azizah pula berkata, penemuan Ambassis octava mewakili hanya seimbas daripada kepelbagaian biologi yang masih ‘tersembunyi’ di Malaysia.
Beliau menambah bahawa Ambassis octava merupakan spesies ikan glass-perchlet kedua yang direkodkan dari kawasan
pantai Malaysia sejak seabad lalu.
“Saya percaya bahawa terdapat banyak spesies baharu yang masih belum didokumentasi di Malaysia. Contohnya, Ambassis octava memang telah sekian lama berada di depan mata kita tetapi tanpa kita sedari.
“Penemuan spesies ikan baharu ini mengingatkan kita tentang betapa ceteknya pengetahuan kita tentang biodiversiti Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette