Foto BBC.

ISTANBUL – Manchester City akhirnya menjulang piala yang diidamkan sejak sekian lama  selepas The Cityzens mengesahkan status selaku pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini awal pagi tadi.

Kejuaraan itu menjadi milik anak buah Pep Guardiola selepas menumpaskan Inter Milan 1-0 hasil jaringan tunggal Rodri dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, Turki.

Lebih manis, ia juga merupakan kejuaraan treble buat Manchester City pada musim ini selepas mereka sebelum ini menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Mendominasi aksi sebaik wisel permulaan ditiup pengadil dari Poland, Szymon Marciniak,  City mendapat peluang menerusi Erling Haaland yang menerima lorongan cantik Kevin De Bruyne pada minit ke-27.

Namun, percubaan leret peledak berbisa Manchester City itu diselamatkan dengan baik penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

De Bruyne kemudiannya turut menguji gawang Inter Milan tetapi Onana lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut berselang dua minit kemudian.

Jaringan yang dinantikan kem City hadir pada minit ke-68 selepas percubaan Rodri apabila menerima umpanan daripada Bernardo Silva hanya mampu dipandang pertahanan Inter Milan serta Onana.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan gelaran UCL pertama dimenangi oleh Manchester City dalam sejarah kelab tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast