Dalam majlis menandatangani MoU tersebut, UTeM diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifile Ibrahim manakala WBA pula diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Prof. Emeritus Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan disaksikan oleh Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik bersama dengan World Business Affairs Sdn Bhd menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoU) baru-baru ini.

Pada majlis menandatangani MoU tersebut, UTeM diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifile Ibrahim manakala WBA pula diwakili Pengarah Eksekutifnya Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Majlis itu disaksikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin bersama dengan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi.

Dr Massila berkata, antara objektif MoU bertujuan memantapkan pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam negara serta penyediaan program pensijilan berkaitan.

Jelasnya, UTeM dan WBA bersetuju bekerjasama dalam pembangunan kemahiran dan program pensijilan dengan menyediakan program upskilling yang relevan dengan keperluan industri.

Ujarnya, peningkatan kemahiran menjadi kunci untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan pada masa kini, justeru kerjasama ini dapat membuka akses kepada lebih ramai individu untuk memperoleh kemahiran baru sekaligus memperluas peluang pekerjaan.

“Menerusi kerjasama strategik ini UTeM dan WBA menjadi wakil tunggal yang mewakili NIIT di Malaysia yang mana NIIT merupakan syarikat latihan dan pembangunan kemahiran global yang diiktiraf dunia dalam pengembangan kurikulum, penyediaan sesi latihan dan penilaian kemahiran.

“Sehubungan itu, segenap pelaksanaan aktiviti-aktiviti latihan kepakaran yang akan dilaksanakan di UTeM nanti adalah mendapat pengiktirafan daripada pihak NIIT.

”Lebih menarik, kerjasama ini turut membuka ruang dan peluang kepada staf UTeM untuk menawarkan kepakaran mereka melalui perkhidmatan rundingan kepada pihak-pihak yang memerlukan di samping menjana pendapatan tambahan bagi universiti,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Massila berkata, UTeM dan WBA senada bergerak maju bersama, mengatasi cabaran dan mencipta peluang baru dalam era pembangunan sumber dan kemahiran tenaga manusia yang sentiasa berubah kini.

Kerjasama turut memberikan manfaat dan impak besar langsung bagi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.- MalaysiaGazette