KUANTAN – Seekor burung merpati berjaya terbang sejauh 300 kilometer mencari jalan pulang ke sangkar tuannya di sini dalam tempoh empat jam selepas dilepaskan di Tumpat, Kelantan semalam.
Pencapaian cemerlang haiwan jinak milik Ahmad Azizul Yusuf, 40, itu menjadikan burung itu dinobatkan johan sempena Pertandingan Merpati Racing Homer Club Race Pahang 2023.
Burung merpatinya pertama tiba di rumahnya daripada 40 burung merpati lain dilepaskan bersama lima peserta pada pukul 8 pagi itu selamat kembali pukul 12 tengah hari.
”Semua peserta adalah dari daerah ini dan burung pertama yang sampai di sangkar masing-masing akan dikira sebagai pemenang.
”Sebelum ini ada juga pernah menyertai pelumbaan dengan dilepaskan di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu dan selamat semula ke sangkar di Kuantan dalam tempoh lima jam,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Ahmad Azizul, pertandingan seumpama itu memberi kepuasan kepadanya apabila burung peliharaannya dapat kembali semula ke sangkar selepas dilepaskan.
Ia membuktikan haiwan itu cerdik dalam mengesan radar lokasi seperti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Bagaimanapun, ada ketika haiwan tersebut tidak berjaya pulang kerana sesat atau dibaham pemangsa lain semasa perjalanan terbang pulang.
Pengalaman selama 10 tahun dengan hobi itu memberi kepuasan kepadanya meskipun tidak menjanjikan sebarang hadiah yang lumayan namun ia dapat menambah tambahan buatnya dan keluarga.
Tambah Azizul yang juga kakitangan RTM Pahang, beliau mula menternak merpati Racing Homer bermula dengan tiga pasang yang dibeinya di Kelantan dan sehingga kini sudah ada lebih 200 ekor. – MalaysiaGazette