KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen blok kerajaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap parti gabungan kerajaan berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar berkata, beliau pelik dengan sikap AMK yang membatu isu berkenaan biarpun pernah lantang menyuarakan mengenai isu LCS, sebelum ini.
“(Tetapi) yang pelik dan ajaibnya, orang sama yang tuntut perkara ini, kini ingin mengambil tindakan ke atas saya kerana membangkitkan isu LCS,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Tambah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, AMK juga antara yang bersungguh-sungguh berkempen pada PRU lalu, dengan menuduh beberapa menteri yang kini sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Orang sama berkempen mengatakan bahawa LCS ini lebih teruk rasuah dan penyelewengan daripada 1MDB, orang sama yang tidak tunggu pun perbahasan siasatan dilaksanakan, untuk kata kita menang, kita tangkap dan humban pemimpin-pemimpin utama (yang terlibat dalam isu LCS) ke dalam penjara.
“Saya tidak kata pun perkara ini (humban dalam penjara), (tetapi) yang saya mohon proses yang betul iaitu kita adakan perbahasan di Parlimen, dan isu sama yang dituntut sebelum pilihan raya.
“Kita (pembangkang ketika itu) letakkan beberapa tuduhan ke atas beberapa menteri utama yang kini dalam kerajaan, dan ingin penjarakan mereka.
“Tetapi bila kita ingin tahu perkara ini secara mendalam, kita lupakan dan diamkan, bisukan mulut, pekakkan telinga serta butakan mata,” katanya.
Jelas Syed Saddiq, beliau menghormati institusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat namun menegaskan usul tergempar LCS sangat terperinci dan perlu disegerakan.
“Saya dah kongsikan (dalam surat) mengapa ini kepentingan orang ramai, dan mengapa ia perlu disegerakan kerana dalam tempoh satu minggu kos LCS dinaikkan tambahan sebanyak RM2.2 bilion dan jumlah kapal dikurangkan dalam tempoh satu minggu.
“Itu mengapa ia perlu disegerakan dan mengapa ini isu kepentingan orang ramai. Saya rasa semua orang tahu dan bersetuju ini melibatkan RM11.2 bilion duit rakyat dan projek ditangguh berkali-kali serta tiada tangkapan besar (individu yang dituduh),” ujarnya. – MalaysiaGazette