Pas Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas Kelantan dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 selewat-lewatnya selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Rabu ini.

Itu kata Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakub, selepas diajukan soalan oleh wartawan berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bersama enam negeri lain.

Serentak itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, parti itu sudah mempunyai senarai pendek nama yang bakal dicalonkan pada PRN ini.

Menurut beliau, calon itu adalah gabungan muka lama dan baharu, yang diyakini dapat memberi kemenangan kepada Pas yang merupakan antara komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Senarai pendek sudah ada dan sudah tentu kita akan gabungkan calon lama dengan yang baharu. Malah, semua kawasan pun sudah ada calonnya, tetapi kini di peringkat nak tentukan calon yang boleh beri kemenangan kepada parti.

“Mana-mana ahli Pas berhak menjadi calon yang sesuai dan mestilah calon itu boleh memberi kemenangan. Semua orang adalah antara calon PRN dan kita belum putuskan lagi.

“Kita jangkakan senarai calon akan diputuskan minggu depan,” katanya di Kota Bharu, malam tadi.

Takiyuddin optimis PN boleh menawan semua enam negeri pada PRN ini, termasuk negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Umum menjangkakan PRN diadakan paling lewat Julai ini termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu. – MalaysiaGazette