Muhammad Zakwan bersama laporan polis yang dibuat di IOD Dang Wangi pagi hari ini.MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar melakukan siasatan segera ke atas  akaun Instragram portal Samudera.my yang didakwa menularkan kandungan berunsur fitnah kononnya tanah rizab milik PDRM ditukar hak milik kepada gereja di Kamunting, Perak.

Setiausaha Akhabar kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, pengamatan terhadap mesej tular itu mendapati ia palsu dan berunsur fitnah yang boleh mengaibkan pasukan PDRM.

Katanya, pada 12 Jun 2023 jam lebih kurang 11 pagi ketika beliau berada di pejabat Tingkat 3 Bangunan Parlimen, Taman Duta, beliau telah menerima satu hantaran pesanan WhatsApp dari seorang lelaki tempatan bernama Hariz.

“Beliau (Hariz) menghantar satu posting yang dikeluarkan oleh akaun media sosial Instagram bernama Samudera.my berhubung dengan satu poster palsu mengaibkan KDN berhubung kenyataan tanah PDRM tukar milik gereja.

“Untuk makluman semua, tohmahan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

“PDRM telah mengeluarkan kenyataan rsmi sebelum ini berhubung perkara ini dengan mengesahkan bahawa tidak berlaku sebarang tindakan pertukaran tanah berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi tengah hari tadi selepas membuat laporan polis ke atas akaun Samudera.my di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Tambah beliau, KDN menyeru pihak polis menyiasat akaun media sosial samudera.my dan perkara fitnah dan palsu yang ditularkan mereka dengan segera berserta tindakan tegas berlunaskan undang-undang.

“Langkah itu penting agar perbuatan mengaibkan ini tidak membawa persepsi tidak benar dan negatif ke atas PDRM dan juga KDN dalam kalangan rakyat.

“Saya sangat memandang serius kenyataan palsu yang ditularkan oleh akaun media sosial Samudera.my itu dan tindakan tegas wajib diambil agar ia menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang sengaja menularkan berita palsu yang boleh menganggugugat ketenteraman awam,” tegasnya.

Pada 9 Jun lalu, Setiausaha Polis Malaysia Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerusi kenyataan di Bukit Aman mengesahkan PDRM telah selesai menjalankan siasatan ke atas penukaran hak milik tanah rizab PDRM di Kamunting, Perak yang merupakan berek kelamin dan rumah Ketua Balai IPD Taiping kepada sebuah organisasi gereja.

Namun, PDRM mendapati  tiada unsur penipuan terhadap status tanah rizab tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Siasatan status tanah berkenaan juga menunjukkan tanah Lot 784 itu merupakan tanah milik The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka sejak tahun 1883 dan laporan polis dibuat bagi mengenal pasti status pemilik tanah.

“Ekoran itu, PDRM telah mengosongkan kediaman yang didirikan di atas tanah gereja tersebut dan diharapkan semua pihak tidak lagi memanipulasikan isu ini hingga boleh mengelirukan persepsi masyarakat,” tegas Noorsiah.-MalaysiaGazette