Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menghormati keputusan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang tidak mahu menerima jemputan untuk menyertai parti itu semula.

Sehubungan itu, ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh mengucapkan penghargaan kepada Annuar yang telah menyumbangkan jasa kepada UMNO sebelum ini.

Ujar beliau, usul berkenaan pada mulanya telah disambut baik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini.

“Walaupun, kami percaya sejak dilantik menjadi senator dan menteri, diberi peluang menjadi ahli Parlimen mewakili parti pastinya banyak memberi nikmat dan kelebihan buat Tan Sri (Annuar) dan orang di sekeliling Tan Sri.

“Pastinya juga, ada juga yang telah Tan Sri sumbangkan kepada parti. Justeru, Pemuda UMNO ingin mengucapkan terima kasih pada Tan Sri dan semua yang telah keluar dari landasan perjuangan yang luhur ini,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Dr Akmal, barisan kepimpinan muda dalam parti akan terus setia dengan parti meskipun tidak memegang jawatan yang tinggi.

“Pemimpin datang dan pergi, Insya-Allah kami barisan anak muda dan pemimpin pelapis ini apatah lagi yang tidak pernah memegang jawatan yang besar seperti Tan Sri akan terus kekal setia untuk bersama membina rumah kita yang banyak berjasa pada kita ini.

“Kami akan bina rumah ini dengan semangat yang pernah Tan Sri titipkan buat kami orang muda untuk terus setia dan berkhidmat menjaga rumah kita ini ketika Tan Sri menjadi ahli UMNO dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, Dr Akmal secara terbuka menyatakan pendiriannya bahawa barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung memandangkan parti itu kini berada di titik terendah dan perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast