KPKT
Nga Kor Ming

SEREMBAN – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan 19 projek baharu dengan peruntukan sebanyak RM31.04 juta di seluruh Negeri Sembilan tahun ini.

Menurut beliau, salah satu projek tersebut adalah pembinaan balai bomba dan penyelamat baharu di Felda Palong 6, Gemas.

Kor Ming memberitahu, projek-projek lain melibatkan pembinaan dan menaik taraf medan selera serta Pasar Awam Bahau dan Dataran Taman Meranti.

“Semuanya sentuhan kasih daripada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Minggu depan ada lagi berita baik,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan kunci Residensi Seremban Sentral di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Kor Ming berkata, Kerajaan Malaysia Madani telah menepati janjinya untuk menyerahkan kunci Residensi Seremban Sentral kepada pembeli bulan ini.

“Bulan lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum Residensi Seremban Sentral sedia untuk diduduki pada Jun, hari ini janji ditepati.

“Pembeli-pembeli sudah terima kunci dan ini membuktikan betapa komitednya kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, projek perumahan tersebut pernah dikategorikan sebagai ‘sakit’ berjaya dipulihkan setelah beliau menjadi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast