KUALA LUMPUR – Penyokong Pas sepatutnya tahu bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang perkara yang hendak disorokkan dalam isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tempoh pelaksanaan projek menjadi lambat dan akhirnya ia diberhentikan.
Menurut beliau, audit forensik telah dilaksanakan terhadap projek LCS pada 2018 oleh jawatankuasa audit kerajaan.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menyiasat projek LCS sepenuhnya di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sian See menjawab pertanyaan seorang netizen yang dipercayai penyokong Pas sama ada BN ada sesuatu yang disorokkan dalam isu tersebut.
Beliau menambah, ketika kerajaan PN memerintah, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Wong Kah Woh dari DAP telah menyiasat dan memantau projek LCS dan laporan-laporan PAC turut didedahkan.
Seterusnya, kata Sian See, semasa era Kerajaan Perpaduan ketika ini, PAC yang dipengerusi Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menyiasat dan memantau projek LCS.
“Jadi, bukan apa yang kami nak sorok tetapi memang tiada apa-apa yang boleh disorok lagi.
“Melainkan jawatankuasa audit, SPRM, PAC yang diketuai oleh DAP dan Bersatu tidak kompeten untuk mencari salah laku dan songlap Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak siasatan mereka bermula lima tahun dahulu pada 2018,” jelasnya. – MalaysiaGazette