KUALA NERUS – Pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon berkata pendekatan bermain untuk menang adalah lebih penting berbanding corak permainan cantik, menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Beliau berkata dalam persiapan menghadapi cabaran getir saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan, barisan pemain perlu membiasakan diri dengan pelbagai pendekatan untuk menang menentang setiap pasukan dengan taktik berbeza.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata pemainnya dinilai berdasarkan taktikal yang digunakan dalam satu perlawanan pada satu masa, oleh itu, mungkin berbeza daripada penilaian peminat bola sepak dan juga media.
“Kita mempunyai misi yang jelas, terutamanya pada ketika ini menjelang Piala Asia, semua lawan sangat kuat dan kita tidak boleh hanya bermain dengan corak permainan cantik dan ‘menarik’ setiap perlawanan tapi kita perlu bijak dan efektif untuk mencipta kemenangan, jadi pendekatan untuk menang lebih penting.
“Saya tahu ada yang mempunyai jangkaan sendiri untuk melihat corak permainan cantik dan ‘menarik’ tapi ada kalanya dengan cara itu, kita tidak mampu berdepan dengan lawan yang kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang perlawanan persahabatan itu, di sini hari ini.
Pertembungan dijadual berlangsung di gelanggang keramat Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan.
Berdasarkan ranking dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-138 manakala Kepulauan Solomon di tangga ke-134.
“Semoga kami dapat memberikan kemenangan kepada peminat tapi dalam bola sepak kita tidak tahu, kita akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan semangat kemenangan di laman sendiri dan juga mahu menjadikan rumah kita sebagai kubu – jadi, sesiapa sahaja yang datang ke sini, kita mahu kalahkan mereka – ini adalah budaya pasukan yang mahu kita bentuk,” katanya.
Mengenai kemunculan kembali penyerang Negeri Sembilan FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dalam skuad kebangsaan, Pan Gon berkata ia memberikan pilihan tambahan di bahagian serangan pasukan.
“Ia peluang baik kepada kita untuk meletakkan pemain lain sebagai eksperimen, saya teruja jika dia melakukannya dengan baik mungkin kita dapat senjata lain,” katanya sambil memaklumkan hampir kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk bermain esok.
Sementara itu, pengemudi bahagian pertahanan Matthew Davis percaya jika pemain boleh menterjemahkan taktik dengan baik, mereka boleh memenangi perlawanan esok.
Bagaimanapaun, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 28 tahun itu mengakui Kepulauan Solomon bukan calang-calang pasukan yang boleh dipandang mudah.
“Jika kita ikut taktik diberikan, saya rasa kemenangan menjadi keputusan buat pasukan kita tapi apa yang penting sekarang ini adalah proses, pada masa sama kita tidak boleh pandang mudah lawan. Sukan bola sepak sedang meningkat di rantau mereka, jadi kita tidak boleh pandang rendah,” katanya.- BERNAMA