KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mendakwa Perdana Menteri memesongkan fakta sebenar berkenaan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.
Beliau berkata, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa seramai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan SPM pada 2022 bercanggah dengan jumlah yang sebelum ini dilaporkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Dari mana datangnya 30,000 yang tidak duduki SPM ini saya tidak pasti. Saya cuba dapatkan maklumat-maklumat yang ada untuk melihat dari mana asalnya jumlah ini. Kalau kita lihat di sini (keratan berita) 14,858 calon tidak menduduki SPM dan begitulah laporan media yang lain.
“Jadi sekarang ini apabila Perdana Menteri sebut sebegini, daripada mana datangnya data ini, siapa tipu siapa? Sama ada Menteri Pendidikan menipu Menteri atau Perdana Menteri bercakap sendiri tanpa merujuk mana-mana fakta,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum memulakan sidang medianya, bekas menteri pendidikan tersebut memainkan rakaman video berdurasi 47 saat yang memaparkan Anwar berkata demikian ketika Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan JPA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Mengulas lanjut Radzi menegaskan, perdana menteri sepatutnya bercakap berdasarkan fakta demi kesejahteraan rakyat dan bukannya berpolitik setiap hari.
“Saya tiada masalah kalau nak jolok sarang tebuan. Kalau sarang tebuan duduk senyap-senyap tidak apa. Sekiranya inilah politik yang dimainkan, bercakap tanpa fakta, tanpa data yang benar kita akan betulkan satu persatu.
Katanya lagi, dakwaan Anwar itu seolah-olah cuba menggambarkan bahawa beliau tidak memainkan peranannya dengan baik ketika menerajui Kementerin Pendidikan sekali gus cuba menyembunyikan jumlah sebenar pelajar yang tidak menduduki SPM.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan perdana menteri supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan.
“Sebab itu saya tidak boleh berdiam diri, ini fakta yang perlu dijelaskan. Perdana Menteri kata kenapa dalam kempen saya tidak sebut perkara ini? Buat apa saya politikkan isu pendidikan? Pendirian saya tidak politikkan pendidikan. Tapi selepas ini kita berpendirian untuk betulkan segala apa yang dikatakan tanpa fakta.
“Sekarang ini sedang galak dilaksanakan program ceramah madani di institusi-institusi pengajian tinggi di negara bagai cendawan tumbuh.
“Pesan pak cik (saya) kepada anak-anak di luar sana, kalau diminta hadir, kalau perlu hadir, hadirlah, cuma perlu bezakan antara fakta dan auta. Kalau seseorang yang bercakap kita tahu lebih auta daripada fakta maka berhati-hatilah. Seperti orang-orang tua sebut dengar boleh percaya jangan,” tambahnya.
Pada 11 Jun lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.- MalaysiaGazette