Salah seorang suspek yang ditahan.

SHAH ALAM – Dua daripada tiga lelaki tidak berbaju yang mencederakan seorang pelanggan kedai dalam kejadian di depan kedai awal bulan ini berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian 4 Jun lalu, kira-kira jam 9.40 pagi di Jalan Anggerik Eria Seksyen 31/7 Kota Kemuning Shah Alam, suspek-suspek itu telah memasuki sebuah kedai runcit untuk membeli minuman keras.

Ketika itu terdapat dua pekerja dan seorang pelanggan di dalam kedai.

“Ketiga-tiga suspek itu pada mulanya mahu membeli minuman keras dan menyatakan akan membayar kemudian hari tetapi tidak dibenarkan oleh pekerja kedai tersebut.

“Namun, suspek tetap berdegil dan telah mengambil juga minuman keras sebelum bertindak mencederakan pelanggan yang berada di dalam kedai tersebut dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bertindak atas laporan dan maklumat pada Isnin lalu, jam 8.20 malam polis berjaya membuat  tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia 30-an.

Ssuspek pertama dan kedua masing-masing memiliki dua dan enam rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek telah direman sehingga 16 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen  394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

”Sementara seorang lagi rakan jenayah mereka bernama Harekaran Remesh@Haree , 25, yang beralamat Taman Sri Muda Shah Alam  sedang giat diburu polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette