Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Jenayah seksual kanak-kanak di bawah umur 18 tahun khususnya pelajar dan keganasan rumah tangga merupakan penyumbang kepada peningkatan kadar indeks jenayah di negeri Selangor dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, negeri itu merekodkan sebanyak 5,779 kes berbanding 5,484 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun peningkatan kadar jenayah itu hanya sekadar lima peratus (295 kes), tetapi keadaan masih terkawal dan ia masih di bawah paras rendah indeks sebenar yang ditetapkan dalam pelan Strategik PDRM,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Shah Alam di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan majlis Kesedaran Autisme PDRM anjuran bersama Persatuan Keluarga Polis dan Amanita.

Tambah beliau, usaha polis Selangor ke arah mengurangkan jenayah telah dan akan dibuat untuk mengawal serta mengurangkan kadar jenayah itu.

Antara inisiatif yang diperhebatkan ialah mengoptimumkan penggunaan kereta peronda polis MPV dan unit rondaan bermotosikal di kawasan panas dan bersasar di Selangor.

“Kedua, kita akan mengiatkan kempen di sekolah dan kawasan bersasar seperti masjid yang mana pelajar perlu diberi pendedahan serta kesedaran yang serius mengenai peningkatan jenayah seksual agar mereka tidak menjadi mangsa.

“Selain itu, mengukuhkan kerjasama dengan pihak badan bukan kerajaan dan swasta untuk mencegah jenayah secara lebih holistik,” ujarnya.

Ditanya faktor yang mendorong kepada peningkatan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun, Hussein berkata, polis percaya pendedahan dan akses yang lebih oleh golongan remaja dalam media sosial menjadi antara puncanya.

“Selain itu, pelajar yang kurang mendapat kawalan dan perhatian ibu bapa dan penjaga juga menyebabkan kes berkaitan meningkat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa harus mengambil tahu tingkah-laku anak-anak dalam usaha mengekang jenayah ini. – MalaysiaGazette