. Townhall Ikon Madani Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

SINTOK – Lebih 2,500 pelajar memeriahkan Townhall Ikon Madani Peringkat Negeri Kedah dan Perlis yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pelajar UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau.

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, mahasiswa merupakan kelompok penting yang memiliki kematangan berfikir dan boleh membuat keputusan serta layak mengambil bahagian dalam proses menentukan masa depan negara melalui pilihan raya.

“Saya menyeru supaya mereka tidak terikut-ikut dengan bawaan arus sebaliknya berprinsip dalam mengambil satu posisi dalam satu isu, jadi kelompok ini kita bimbing mereka agar mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik.

“Dalam sesi dialog ini, saya berkongsi perkembangan semasa bersama pelajar dan mereka berani bertanya serta berkongsi data. Inilah peluang untuk saya jelaskan keadaan sebenar bersandarkan fakta. Jadi bila berdialog mereka diberi peluang untuk merungkai persoalan dan mendapat penjelasan yang sewajarnya,” katanya.

Townhall Ikon Madani Peringkat Negeri Kedah dan Perlis anjuran oleh Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, merupakan satu program perkongsian idea di antara ikon dan tokoh pemimpin kerajaan dengan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi.

Majlis turut menyaksikan sesi pemberian bantuan awal pendidikan seperti bantuan tunai dan barangan keperluan asas ke Menara Gading (Kit Madani) kepada lebih 500 pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan menzahirkan penghargaan dan berbesar hati di atas kesudian Prihatin memilih UUM sebagai lokasi untuk program Townhall Ikon Madani ini.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution meluangkan masa berdialog bersama ribuan mahasiswa yang mewakili Kedah dan Perlis walaupun kekangan jadual yang sibuk. UUM bangga dengan kehadiran penuh pelajar UUM, UniMAP dan UiTM,” katanya.

Tambahnya, di UUM, banyak program dan aktiviti telah dilaksanakan bagi membangunkan nilai-nilai kepimpinan dan jati diri mahasiswa selari dengan konsep MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast