Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang diiiringi Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek melawat tapak pameran selepas merasmikan Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 di Auditorium Pusat Pendokumentasian Pemeliharaan Audio Visual (PPPAV), Arkib Negara Malaysia. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Budaya mempolitikkan segala isu di Malaysia perlu dihentikan kerana ia hanya memecahbelahkan rakyat dan menjejaskan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, budaya itu atau politiking masih membelenggu masyarakat Malaysia sepanjang tahun.

“Politik ini tak payahlah, kalau perpaduan tiada politik.

“Bila kita politik kita akan berpecah-belah, ia memudaratkan perpaduan.

“Sebab itu sampai sekarang apa yang berlaku disebabkan politiking.

“Sentuh isu kaum hingga menjejaskan rakyat,” katanya kepada pemberita di Arkib Negara Malaysia (ANM), di sini, hari ini.

Terdahulu Aaron merasmikan Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Sementara itu, Aaron berkata, Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa yang bermula pada 9 hingga 16 Jun ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda terhadap peranan dan kepentingan institusi arkib dan bahannya.

“Ini Warisan Kita dalam usaha memelihara dan melestari bahan arkib sebagai warisan khazanah negara untuk menyemai dan memupuk serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette