Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Strategi gerak kerja Pas Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi ialah memastikan parti itu bersama gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) menang majoriti.

Ini disuarakan Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi apabila mengulas mengenai ‘poster boy’ PN yang bakal diangkat sebagai menteri besar sekiranya dapat mengalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, bagi sesebuah negeri yang ‘cantiknya’ ialah menteri besar adalah dari kalangan anak negeri itu sendiri.

“Kita tidak meletakkan ‘poster boy’ atau calon menteri besar sebagai satu tumpuan yang mengatasi daripada segala-galanya.

“Ini kerana citarasa urus tadbir itu lebih dirasai atau citra kepada urusan pentadbiran itu hanya benar-benar dapat didukungi apabila mereka adalah anak tempatan.

“Sebab itu saya bincang dalam Pas dan suarakan di peringkat PN Selangor, fokus kita adalah untuk menang atau menawan Selangor,” katanya yang dipetik Harakahdaily.

Menurut Dr. Ahmad Yunus, apa makna meletakkan ‘poster boy’ sehingga ada pihak yang terasa.

Jelas beliau, tumpuan kerja sekarang ialah menang di Selangor dan Pas serta PN negeri mempunyai calon berwibawa untuk diangkat sebagai menteri besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, urusan pelantikan menteri besar adalah kuasa eksekutif Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. – MalaysiaGazette