Tan Chew Heng didakwa atas pertuduhan membunuh dua lelaki di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Song Ban Kheng di sini, pada awal Jun lalu.

Tertuduh, Tan Chew Heng, 66, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Cina di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selain tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan membunuh Tu Soon Ee, 79, di Lot 521, Mukim 15, Jalan Song Ban Kheng dalam daerah Seberang Perai Tengah antara jam 1.45 petang hingga 6.30 petang pada 6 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Chew Heng.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh M.Murugasan, 58, di lokasi sama antara jam antara jam 1.45 petang pada 6 Jun hingga 12.01 malam 8 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 September depan untuk mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Cina.

Sementara itu, ketika prosiding, tertuduh meminta pihak mahkamah menghantarnya ke hospital sakit mental atas alasan dia sakit dan memerlukan ubat antipsikotik.

Dakwa tertuduh, tiada pengambilan ubat tersebut sejak dia ditahan bagi siasatan kes bunuh.

Mohd Harith kemudian meminta tertuduh memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penjara reman untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis selesaikan kes bunuh warga emas kurang 24 jam

MalaysiaGazette pada 7 Jun lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang warga emas dalam tempoh kurang 24 jam selepas menahan dua lelaki di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 79 tahun di kawasan semak di Jalan Song Ban Kheng di sini, pada jam 7.45 petang.

Jelas beliau, pemeriksaan polis mendapati mangsa disyaki ditikam menggunakan senjata tajam. – MalaysiaGazette