Rahmad Mariman

MELAKA – Seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat ‘Si Hulk’ atau Suhaini Bin Mohammad ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah rumah di Jasin di sini Ahad lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mendakwa, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam di rumahnya bersama isteri dan tiga anaknya dan disyaki mempunyai lebih 20 pengikut aktif di negeri ini sejak tahun lalu.

Menurutnya, hasil siasatan dijalankan terhadap orang yang disyaki (OYDS), dia mengaku sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya pada Selasa lalu untuk bersama pengasas ajaran sesat itu dan ahli kumpulan yang sudah berada di sana.

“Lelaki itu yang berasal dari Jasin, di sini sanggup berhenti kerja untuk berhijrah dan mencari pekerjaan baharu di negara berkenaan bersama-sama pengasas ajaran sesat Suhaini Bin Mohamad atau ‘Si Hulk’ serta ahli kumpulannya dari seluruh negara.

“JAIM sudah pun membuka kertas siasatan terhadap kumpulan ini selepas tular video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang telah memberi kenyataan menghina Nabi Muhammd SAW dengan mengatakan baginda adalah Allah.

“Siasatan juga mendapati ajaran sesat ini bermula sejak tahun lepas yang mana pengikutnya di Melaka sahaja dianggarkan sekitar 10 hingga 20 orang setakat dalam pengetahuan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, ajaran sesat berkenaan dipercayai disebarkan pengasasnya yang juga seorang pengusaha minuman kesihatan untuk mengumpulkan ahli sebelum menyebarkan fahamannya.

JAIM juga katanya, telah meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Polis Antarabangsa (INTERPOOL) untuk mengesan pengasas ajaran sesat itu yang kini dipercayai berada di New Zealand.

“Setakat ini kita hanya berjaya menahan pengikutnya selain merampas beberapa risalah ajaran sesat di rumah OYDS di Jasin, namun premis itu bukanlah menjadi markas penyebaran fahaman sesat ini.

“Kita percaya, kumpulan ini bergerak dari satu tempat ke tempat lain selepas sukar untuk menyebarkannya kerana Melaka sudah pun memutuskan fahaman Suhaini Bin Mohamad ini adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.

Tambahnya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Melaka Bil 2 2023 pada 30 Mei lalu selepas mendapati ajaran itu tersesat daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.

“Saya menyeru orang ramai supaya segera berhenti daripada mengikuti ajaran sesat ini dan diminta segera membuat rujukan kepada JAIM jika terdapat kekeliruan,” katanya.

Tambahnya, umat Islam yang didapati terlibat dalam penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. – MalaysiaGazettte.