NEGERI Sembilan amat memerlukan pentadbiran kerajaan negeri yang mantap dan kompeten untuk meneruskan usaha membangunkan negeri berkenaan agar setanding dengan Selangor dan Kuala Lumpur yang berjiran dengannya.
Pelbagai perancangan yang dibuat semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dahulu telah membuahkan hasil.
Contohnya, membangunkan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson, menambah baik sistem jalan raya terutamanya di sekitar bandar raya Seremban dan menjenamakan Negeri Sembilan sebagai hab perindustrian.
Walaupun kuasa bertukar ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan banyak inisiatif di bawah BN dahulu.
Ia dapat dilihat menerusi kesinambungan pembangunan MVV 2.0, pembentukan bandar raya Seremban dan projek-projek infrastruktur di luar bandar termasuk di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai BN.
Boleh dikatakan Aminuddin yang baru sepenggal menjadi Menteri Besar berjaya menyambung legasi kecemerlangan yang ditinggalkan Mohamad khususnya bagi menarik pelaburan baharu ke Negeri Sembilan.
Buktinya, Negeri Sembilan mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM8.9 bilion tahun lalu, di mana ia merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri tersebut.
Aminuddin pula menganggap kejayaan itu sebagai manifestasi tadbir urus yang cekap dan sikap keterbukaan yang diamalkan kerajaan Negeri Sembilan dalam pelbagai aspek.
Seperti di negeri-negeri lain, pembangunan di Negeri Sembilan tergendala selama beberapa tahun akibat krisis pandemik COVID-19 dan iklim politik di peringkat Pusat yang tidak menentu sehingga menyaksikan Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali dalam sepenggal.
Dalam tempoh lima tahun selepas PRU14, Negeri Sembilan bertukar dari negeri yang sehaluan dengan kerajaan Pusat kepada negeri pembangkang dan kini bersama Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.
Pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa sebulan dua lagi bakal menentukan sama ada Negeri Sembilan kekal sebagai pendukung Kerajaan Perpaduan atau bertukar kembali menjadi pembangkang.
PRN Negeri Sembilan juga akan mencatatkan sejarah di mana BN dan PH bakal bekerjasama untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) yang bersedia memberi tentangan sengit bagi memastikan negeri itu jatuh ke tangan mereka.
Sejauh mana gabungan BN dan PH dapat bertahan dan setakat mana ampuhnya serangan PN, hanya pengundi yang dapat menentukan pada hari pilihan raya nanti.
Jika mereka mahu melihat Negeri Sembilan menjadi negeri maju setanding dengan Selangor dan Pulau Pinang, maka calon-calon yang mewakili BN dan PH adalah pilihan yang tepat.
Pada masa yang sama, kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Perpaduan perlu menunjukkan bahawa mereka benar-benar komited untuk melaksanakan segala janji kepada rakyat sebelum PRN berlangsung.
Tidak cukup sekadar umum kelulusan peruntukan sahaja tetapi projek atau program yang dijanjikan tidak nampak bayangnya.
Pemimpin-pemimpin PH dan BN di Negeri Sembilan seharusnya sedar bahawa pengundi kini mempunyai memori jangka panjang dan mereka tidak mudah lupa janji-janji yang ditaburkan lebih-lebih lagi jika ia tidak ditepati. – MalaysiaGazette
WOW DAP PH lebih berjaya memerintah Negeri SEMBILAN dan UMNO bangga kemajuan itu. PRU 16 nanti UMNO boleh JADI TULANG BELAKANG DAP PH untuk diperintah PH. ZAHID Khaled Pokcik Puad Lokman Adam Hisham Jalil lagi si pendek 3.8 tu (lupa lak namanya) harus bertekad demi menjayakan PH tu…
Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI