Muhammad Kamil Abdul Munim

PENGHASUTAN terbuka yang dihantar melalui akaun Pas Pusat di media sosial adalah citra sebenar Parti Islam SeMalaysia (Pas) untuk naratif memecahbelahkan masyarakat majmuk dan mencetuskan ketegangan agama.

Demi ‘untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian sesama manusia bagi menegakkan Al Amru Bil Ma’ruf Wan Nahyu ‘Anil Mungkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara’, tuduhan Pas menyamakan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rejim Zionis ironinya adalah satu penghinaan kepada perjuangan pembebasan umat Islam Palestin.

Bagi Pas, tatkala mereka tidak berkuasa dalam pentadbiran Pulau Pinang, segala tindak-tanduk kerajaan negeri adalah permusuhan kepada agama Islam dan Orang Melayu.

Hal yang sama berlaku apabila Pas juga melabelkan Kerajaan Persekutuan semasa dikendalikan oleh golongan tak bermoral dan dikelilingi ‘syaitan bisu’ untuk menterjemah naratif “dikuasai oleh kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam”.

Dakwaan penyingkiran bersistem masyarakat Melayu di Pulau Pinang ini adalah satu provokasi kepada 18 Pegawai Pengurusan Tertinggi Melayu dan India di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang yang berada di dalam ‘sistem’.

Malah kenyataan ini juga mempertikai hubungan Istana Negara bersama kerajaan negeri malah kedudukan Yang DiPertua Negeri sebagai entiti yang mengiktiraf dan bersama dalam pembangunan Pulau Pinang.

Hak Terhadap Harta boleh dirujuk pada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Terdapat 2 subseksyen dibawah Perkara 13 Perlembagaan ini iaitu Perkara 13(1) dan Perkara 13(2). Perkara 13(1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

Perkara 13(2) pula menyatakan dengan jelas iaitu tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

Kajian serupa yang dirujuk oleh Pas oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk terang-terangan menyatakan pengurangan pemilikan tanah tersebut adalah disebabkan orang Melayu sendiri menjualnya kepada bangsa lain!

Bermaksud, tidak ada sistem di bawah Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan paksaan kepada sesiapa, menoktahkan sebarang bentuk penindasan yang serupa dilakukan oleh Zionis kepada warga Palestin.

Apatah lagi membayangkan sebarang bentuk keganasan fizikal untuk ‘menghalau’ orang Melayu keluar dari Pulau Pinang.

Bagaimanakah sistem rampasan yang cuba didoktrin oleh Pas berlaku, selain niat jahat mereka untuk menimbulkan kebencian Melayu kepada bangsa lain?

Adakah tindakan menyemai kebencian dan rasa tidak puas hati sesama manusia adalah tindakan golongan yang beriman?

Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA) juga bertanggungjawab ke atas peruntukan hartanah perumahan, komersial serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Pinang untuk kawal selia kemajuan hartanah. Tiga wakil Kerajaan Persekutuan turut terlibat dari pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kewangan, dan Jabatan Perdana Menteri.

Ini belum lagi melibatkan sebarang keputusan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja dalam keputusan yang melibatkan kepentingan orang Islam dan masyrakat Melayu. Mungkin PAS menganggap penderhakaan kepada institusi diraja juga akan dilakukan sesiapa seperti rekod mereka di Negeri Perak dan gemar membelakangi titah Yang Dipertuan Agong.

Iri hati kepada kuasa yang tidak dimiliki telah meresap ke dalam ajaran neo-akidah Pas. Bagi mereka, akidah hanya sempurna sekiranya mereka yang mentadbir dan memiliki kuasa. Timbul persoalan susulan, di mana tahap moraliti Kerajaan Negeri Kedah dan Kelantan apabila meletakkan maruah orang Melayu bersama dua negeri miskin berbanding negeri lain?

Di mana pula malaikat yang merahmati Pas ketika syaitan-syaitan bisu membenarkan penjualan tanah pada harga murah di Terengganu untuk persatuan isteri-isteri wakil rakyat Pas Terengganu (Khairunnisa)?

Di mana malaikat amar makruf ketika Kerajaan Negeri membiarkan tanah kerajaan RM 5.87 juta tetapi dibayar serendah RM 500 ribu sahaja? Apakah ia bukan rampasan bersistem kepada hak orang Melayu di negeri-negeri terbabit?

Mengulangi skrip perkauman dan agama sekadar mengiakan ekstremisme yang diamalkan Pas. Ini bukan kali pertama sentimen dengan pengulangan retorik ‘tidak mustahil’, ‘agaknya’. ‘nampak kecil’, dan ‘jika’ dalam penulisan spekulatif Pas memandang rendah kepada keupayaan rakyat Malaysia untuk berfikir dan memperkecil kehendak rakyat kepada kehendak keharmonian.

Adakah untuk menjadi lebih gah dari syaitan bisu, Pas memilih untuk menjadi syaitan yang bercakap? – MalaysiaGazette

Muhammad Kamil Abdul Munim
Setiausaha Politik Menteri Kewangan

PENAFIAN: Artikel ini pandangan penulis dan tidak ada kena mengena dengan MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Kibbutz di Penang termasuk tanah rizab Melayu sebijik sebesar kibbutz di Singapore berpotensi jadi model solusi dua negara untuk konflik Palestine-Israel muka tebal lurus bendul politikus Pak Pandir ooii!
    Sebaliknya, negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait ada masyarakat majmuk berbilang kaum tinggal lama sehingga ke cucu-cicit mempunyai hak asasi warganegara asal daripada negara-negara asal masing-masing tanpa diberi hak warganegara tempatan maka tiada kibbutz di tanah air Pak Arab tersebut politikus Pak Pandir ooii.

Comments are closed.