Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas mencuri jersi kelab bola sepak liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) di sebuah kedai peralatan sukan di Melawati Mall di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu disedari penolong pengurus premis berkenaan sekitar 7.20 malam selepas suspek mengambil dua helai jersi iaitu PSG dan Manchester United untuk dicuba pakai di bilik persalinan.

Bagaimanapun suspek didapati meninggalkan bilik persalinan dengan hanya membawa sehelai jersi sahaja.

“Apabila suspek tersebut hendak keluar, pintu pengimbas keselamatan telah berbunyi kerana terdapat tag keselamatan pada baju tersebut.

“Penolong pengurus premis itu menahan lelaki tersebut dan memeriksa beg galas yang dipakai suspek kemudian menemui sehelai jersi PSG warna biru gelap berharga RM299,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, suspek seorang penganggur warga tempatan berusia 39 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau selain hasil ujian air kencing negatif dadah.

“Suspek direman sehingga 18 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. -MalaysiaGazette