RV Discovery digunakan dalam kerja-kerja penyelidikan oseanografi.

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara institusi yang memfokuskan bidang maritim dan kelautan. Peranan yang dimainkan intitusi pengajian tinggi itu dilihat penting bagi memenuhi keperluan industri sektor yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara.

Fokus utama bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pengurusan logistik, rantaian bekalan, pengurusan pelabuhan, sistem perkapalan serta melahirkan kelasi kapal berijazah.

Bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berautoriti, UMT sentiasa menekankan aspek kelayakan tenaga pengajar dan hanya melantik tenaga pengajar yang kompeten serta mempunyai pengalaman dalam bidang maritim.

UMT turut menyediakan kemudahan kelengkapan terkini dan fasiliti canggih seperti bilik simulasi kapal sebagai langkah persediaan untuk pelajar mendalami ilmu berkaitan disamping mengalami pengalaman sebenar seperti berada di lapangan.

Tidak cukup dengan itu, UMT juga memiliki kapal sendiri iaitu RV Discovery yang mempunyai kepanjangan 35 meter.

Selain untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran, RV Discovery juga Kapal RV-Discovery digunakan dalam kerja-kerja penyelidikan oseanografi dan
dilengkapi teknologi terkini setanding kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika tanpa mengisi minyak dan mampu berada selama dua minggu di lautan.

UMT menyambut baik usaha pihak kementerian terlibat memperkenalkan beberapa inisiatif seperti program 2u2i (dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri), 3U1I(tiga tahun di universiti dan satu tahun dalam industri), Industri dalam kuliah dan Kerja Berdasarkan Pembelajaran (WBL) adalah tindakan terkehadapan dalam usaha merealisasikan perancangan kemajuan negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Dr. Izyan Munirah Zaideen berkata, bidang maritim merupakan bidang terbesar dalam menjana pertumbuhan ekonomi merangkumi pelbagai subsektor.

“Malaysia diklasifikasikan sebagai sebuah negara maritim berdasarkan kepada keadaan geografinya yang terletak di laluan utama untuk perdagangan antarabangsa.

“Penerapan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sejajar dengan dasar dan inisiatif sedia ada, dapat memberi manfaat terutama kepada sektor perkapalan. Hal ini sekali gus dapat membawa aliran masuk pelaburan ke dalam sektor ini melalui aktiviti perdagangan.

“Secara amnya, industri maritim merangkumi beberapa sektor seperti pelabuhan dan perkapalan, pelancongan serta perikanan. Semua sektor ini mampu memberikan impak sangat positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat ke arah mencapai status negara maju,” katanya.

Menurutnya, kelestarian industri maritim adalah teras kemakmuran ekonomi Malaysia melalui peluang pekerjaan, penjanaan pelaburan dan sebagainya yang akhirnya keuntungan itu dapat dinikmati oleh masyarakat umumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast