Rantai tangan yang dilarikan suspek dirampas semula.

BALING – Seorang kelindan lori berlakon sebagai pelanggan sebelum melarikan dua utas rantai tangan dalam satu kejadian di kedai emas di Jalan Syed Sheh di sini semalam.

Bagaimanapun suspek berusia 21 tahun itu tidak sempat joli hasil curi tersebut susulan diberkas polis pada pukul 6.20 petang – enam jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, suspek telah pergi ke kedai emas milik seorang wanita berusia 44 tahun kira-kira pukul 11 pagi kononnya untuk membeli rantai tangan bagi memberi kejutan kepada ibunya.

Suami mangsa yang menjaga kaunter memaklumkan lelaki itu perlu mendapatkan ukuran tangan ibunya untuk memudahkan pemilihan saiz sebelum suspek pulang.

Kereta dinaiki suspek turut disita bagi membantu siasatan.

“Susulan itu, kira-kira pukul 12.45 tengah hari suspek datang semula sambil membawa seutas benang yang didakwa ukuran tangan ibunya sebelum pemilik kedai mengeluarkan dua utas rantai tangan rekaan ‘lipan bara’ anggaran berat 12.36 gram (g) dan 15.26 g untuk ditunjukkan kepada suspek.

“Namun, suspek memaklumkan ia bukan rekaan sama yang ditunjukkan suminya sebelum itu. Wanita tersebut kemudiannya cuba bertanyakan kepada suaminya berhubung perkara tersebut sebelum suspek bertindak melarikan diri bersama barang kemas terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shamsudin, suami mangsa cuba mengejarnya namun tidak berjaya apabila suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

“Susulan itu, dia berjaya dikesan sebelum menyerah diri. Turut dirampas empat barang kes termasuk dua utas rantai emas yang dicurinya,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette