Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan bantuan kepada Institusi Pendidikan Islam di Kedah pada Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang hari ini. Turut sama Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (dua, kiri), Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (kiri). --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

JITRA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau cuba menerapkan konsep Islam secara berlebihan dalam pentadbirannya apabila mahu memperluas peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti yang didakwa segelintir pihak.

Beliau berkata tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh segelintir kecil orang bukan Islam itu menunjukkan golongan itu tidak faham kepentingan mendidik umat Islam mengenai konsep sebenar agama itu.

“Saya mahu JAKIM bukan bicara soal agama sahaja, bukan soal aspek-aspek perundangan Islam sahaja, JAKIM sekarang di bawah pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan diperluas tugas, bicara soal ekonomi, lihat program digital, lihat kokurikulum pendidikan.

“Tanggungjawab itu lebih luas supaya nilai Islam itu diterapkan dan ini ditentang oleh pihak yang tidak faham, kelompok kecil bukan Islam yang menulis secara kasar dia kata ‘Anwar sekarang ini mempamerkan sikap Islamist yang kukuh yang cuba diselindungi selama ini dengan mengarahkan JAKIM menguasai semua sistem’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah Melele Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.

Anwar menjelaskan jika umat Islam di negara ini tidak mendapat kefahaman sebenar mengenai ajaran Islam, ia dibimbangi boleh mengakibatkan berlakunya pertembungan antara masyarakat di negara ini.

“Saya nak beritahu rakan-rakan saya yang bukan Islam, terima kasih atas sokongan mereka, tapi mereka juga harus faham, kalau umat Islam ini ilmunya dangkal, kecenderungannya itu menghukum, kalau sikapnya itu bengis, keras, tidak membawa rakyat menarik dan meminati Islam, maka masa depan kita lebih celaru dari segi pertarungan, pertembungan, perbenturan antara dua pihak ini,” katanya.

Beliau juga berkata selama tujuh bulan mentadbir negara, kerajaannya tidak pernah menerima sebarang tentangan daripada bukan Islam, sebaliknya mereka hanya bertanyakan tentang usaha yang hendak dilakukan kerajaan.

Sementara itu, Anwar berkata beliau mengalu-alukan golongan ilmuan, guru Islam dan ustaz memberikan pandangan mereka terhadap kerajaan, namun mengingatkan mereka untuk tidak terbawa-bawa dengan politik perpecahan.

“Jadi kalau kita nak pertahankan Islam, ada banyak lagi perkara boleh kritik saya, saya boleh terima, boleh kritik kerajaan, saya boleh terima, tapi fitnah tidak boleh.

“Ada pandangan umpamanya kalau tidak bersama dengan parti itu, bukan Ahli Sunnah Waljamaah, bukan itu parah? Ustaz-ustaz guru agama mesti tegur, janganlah kita punyai ketaksuban kepada parti mengatasi segala,” katanya.- BERNAMA