Ebenezer Kofi Assifuah-Inkoom. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan ketibaan Ebenezer Kofi Assifuah-Inkoom untuk beraksi dalam saingan Liga Super selepas sebelum ini beraksi bersama KDA FC B pada musim lalu.

Kelab itu dalam satu hantaran di Facebook berkata, dengan kelicikan dan ketajaman di hadapan gol, pemain berasal dari Accra, Ghana itu akan mengisi posisi penyerang Sang Kenari musim ini.

“Walaupun direkrut musim lepas, barisan kejurulatihan telah membuat keputusan untuk menilai proses pemulihan enam bulan pertama dan mendapati perkembangan dipamerkan Assifuah positif pada enam bulan terakhir saingan Piala MFL, buktinya beliau telah bersedia dari segi aspek kecergasan dan mampu beraksi di peringkat lebih kompetitif bersama skuad utama.

“Namun begitu, untuk tidak menganggu momentum beliau bersama KDA FC B, beliau dikekalkan bersama pasukan tersebut dan Assifuah telah membuktikan beliau masih berbisa,” kata hantaran itu.

Rekod peribadi terbaik Assifuah apabila dia pernah mewakili skuad kebangsaan Ghana di Kejohanan FIFA U-20 pada tahun 2013 dan muncul penjaring terbanyak dengan 6 gol.

Musim lepas, dia muncul Penjaring Terbanyak Piala MFL edisi sulung dengan jaringan 16 gol.

Pemain berusia 30 tahun ini pernah beraksi buat kelab FC Sion, Le Havre FC dan Pau FC (Liga Perancis) sebelum mengalami kecederaan panjang.

Namun Kedah menjadi pentas buat dirinta mahu buktikan ketajaman dengan sokongan padu dari rakan sepasukan lebih senior kali ini. – MalaysiaGazette