Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Kempen ‘Kalih Bagi Sama’ yang digunakan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) di Kedah tidak menyalahi sebarang amalan demokrasi, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu berkata, kempen gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah tawaran buat rakyat di negeri itu untuk memilih pihak yang sehaluan dan sama dengan pentadbiran peringkat Persekutuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Di mana songsangnya? Istilah songsang tak ada apabila tiba kempen pilihan raya, kita guna ‘Kalih Bagi Sama’ kerana ia adalah hak parti untuk berkempen. Kita tawarkan kepada rakyat Kedah jika undi BN dan PH, makna sama undi kerajaan di Persekutuan.

“Dalam amalan demokrasi ini tak salah, ada perkara lebih salah jika mencarut, maki orang, fitnah, ikut suka hati kata pada orang. Itu semua lebih dahsyat lagi daripada songsang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kempen ‘Kalih Bagi Sama’ yang dilancarkan PH-BN sebagai songsang dan bertentangan amalan demokrasi di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, mana-mana parti politik mahu pun individu yang ingin bertanding pada PRN kali ini berhak untuk membuat tawaran masing-masing kepada pengundi.

Jelas beliau lagi, kempen itu adalah sebahagian gerakan BN dan PH dalam usaha menawan kembali pengundi di negeri berkenaan selain tidak melanggar amalan demokrasi di negara ini.

“Jadi saya ingat dalam (amalan) demokrasi kita offer (satu) tawaran kepada rakyat Kedah kalau hendak sama Kerajaan Negeri (Kedah) dengan Kerajaan Persekutuan, kita ‘Kalih Bagi Sama’, tidak apa yang songsang tetapi (kalau) dia (Sanusi) kata songsang, saya tidak tahu di mana yang songsang,” kata Mahdzir.

Mengulas mengenai manifesto yang akan digunakan gabungan BN-PH sempena PRN akan datang, Mahdzir berkata, tawaran itu akan merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan.

Katanya, tawaran yang akan dimuktamadkan BN dan PH dalam tempoh terdekat ini diyakini mampu memberi keyakinan kepada pengundi dalam membuat pilihan mereka.

“Antara intipati manifesto yang dibincangkan adalah tawaran kepada wanita dan golongan belia selain aspek kesejahteraan rakyat membabitkan sektor ekonomi, pertanian, pendidikan dan sukan.

“Kita akan bawa tawaran ini untuk diputuskan BN dan PH minggu depan, jika kedua-dua pihak terima maka kita akan bentangkan kepada rakyat pada PRN kali ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH, beliau memaklumkan proses rundingan kini di peringkat pusingan akhir untuk dimuktamadkan.

“Pembahagian kerusi sudah masuk pusingan akhir, cuma ada dua kerusi berlaku pertindihan dan kita serah pada Pusat untuk menentukan siapa yang bakal bertanding. Bagi kerusi lain, kita sudah capai persefahaman.

“Pembahagian di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN dan PH ada wakil di setiap kawasan Parlimen, ini bagi menunjukkan semangat perpaduan antara kita pada PRN ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast