Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyarankan orang ramai merebut peluang taksiran cukai pendapatan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dilanjutkan sehingga tahun 2024.

Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun merupakan insentif istimewa kepada pendeposit kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

“Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan sehingga tahun 2024.

“Saya optimis insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN.

“Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit. Ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” jelas beliau.

Gesaan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu mengenai insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun 2024.

Untuk rekod, sehingga 31 Mei 2023, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM15.28 bilion melibatkan sebanyak 5.92 juta akaun telah direkodkan.

Ia meningkat sebanyak Rm1.04 juta berbanding 31 Disember tahun lepas dengan nilai deposit sebanyak RM14.24 bilion. – MalaysiaGazette