Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

SHAH ALAM – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa tidak pernah menyebut dua juta pengundi UMNO tidak lagi mengundi parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Aktivis politik pro Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard berkata, sebaliknya apa yang diucapkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu ialah pengundi Melayu.

Katanya, beliau sendiri hadir pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat PN di Senawang, Negeri Sembilan pada malam Ahad lalu dan jelas Annuar menyebut jumlah pengundi BN dan UMNO menurun hampir dua juta orang.

“Saya ada malam ceramah tersebut, Annuar sebut, dua juta pengundi Melayu telah tinggalkan (tidak lagi undi) UMNO.

“Maksudnya, dari tempoh PRU13 sampai sekarang jumlah pengundi yang undi UMNO dan BN daripada menang 77 kerusi (PRU14) kepada 26 kerusi (PRU15) menunjukkan secara jelas parti itu hilang sejumlah besar pengundi Melayu.

“Dua juta itu jumlah pengundi Melayu, bukan ahli UMNO tetapi ramai pemimpin UMNO sehingga presidennya keluar kenyataan menafikan dakwaan Annuar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini semalam.

CheguBard menyifatkan pimpinan UMNO masih dalam sindrom penafian walaupun Annuar menyatakan kenyataannya telah disalah tafsir dan media yang melaporkan perkara itu telah memohon maaf.

Katanya, UMNO dan BN sepatutnya mengakui serta menerima hakikat parti itu kehilangan undi hampir dua juta orang Melayu.

“Kalau kamu tak akui, saya tak tahu nak kata apa lagi tetapi saya amat simpati kepada UMNO. Sebab itu pada saya, UMNO ini harus jadi bekas parti Melayu bukan lagi parti Melayu. Kalau parti Melayu di negara Melayu tidak harus menjadi pengemis.

“Bahkan UMNO sekarang bukan sahaja boleh jadi kerusi menang, kerusi nak bertanding pun terpaksa mengemis dengan orang,” katanya.

Ahad lalu, Annuar dalam ceramahnya menyatakan, sejak PRU13, trend jumlah pengundi BN dan UMNO menurun hampir dua juta orang iaitu daripada 5.2 juta undi Melayu pada PRU13, merosot kepada 3.6 juta undi (PRU14) dan turun sehingga 3.4 juta (PRU15).

Jelas beliau, dengan perangkaan itu, realitinya hari ini, UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat kerana dua juta rakyat sudah meninggalkan parti itu. – MalaysiaGazette