KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket membekal wanita warga asing bagi menawarkan perkhidmatan seks dan menahan 72 orang dalam operasi yang dijalankan di Cheras dan Kepong, di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Pengarah Imigresan Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya turut menahan tujuh orang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘kapten’ dan penjaga premis.
Tambah beliau, operasi dilaksanakan berdasarkan maklumat dan risikan selama satu bulan ke atas sindiket yang membekalkan wanita warga asing untuk tujuan seks di sekitar kawasan Kuala Lumpur.
“Pasukan operasi telah menyerbu lima buah premis sindiket dan menahan seramai 72 warga asing yang terdiri daripada empat lelaki Vietnam, tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki India, 43 wanita Vietnam, 15 wanita Indonesia dan 6 wanita Thailand yang berusia di antara 25 hingga 42 tahun.
“Wanita warga asing yang ditahan menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan dan turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ruslin, pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan penyalahgunaan pas.

Katanya, sindiket terbabit beroperasi di premis perniagaan tiga tingkat dengan menjadikan tingkat satu sebagai tempat tinggal manakala tingkat dua dan tiga sebagai tempat khidmat seks.
“Modus operandi sindiket adalah mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke dalam premis. Tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis.
“Pelanggan diberikan pilihan mengikut kategori bilik dan jumlah jam tempahan manakala untuk tempahan wanita warga asing bayaran dikenakan sebanyak RM230 bagi tempoh satu jam.
“Mereka juga telah beroperasi hampir dua tahun dengan mengiklan perkhidmatan itu dengan laman sosial seperti Whatsapp dan Telegram,” ujarnya.
Ruslin berkata, pihaknya telah merampas 48 pasport Vietnam yang berada di premis dan sebuah kenderaan utiliti sukan yang disyaki digunakan untuk menghantar wanita warga asing kepada pelanggan.
Selain itu, katanya, JIM turut merampas wang tunai sebanyak RM6,275 dipercayai hasil bayaran khidmat seks di premis terbabit.
“Seramai 20 orang lelaki tempatan telah dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan. Mereka adalah pelanggan yang berada di dalam premis tersebut semasa serbuan dilakukan,” katanya.
Tambah beliau, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007(ATIPSOM). – MalaysiaGazette
















