rumah terbuka malaysia madani
Wan Saiful Wan Jan

BANGI – Harapan besar yang diletakkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merampas negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dilihat tidak mustahil.

Menurut bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sasaran yang diletakkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Azmin merampas Selangor tidak akan menjadi masalah memandangkan Ketua Penerangan PN itu mempunyai trak rekod yang cemerlang di negeri tersebut.

“Kepimpinan (Datuk Seri) Azmin Ali memang jelas sebagai bekas Menteri Besar Selangor dan salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan juga Ketua Penerangan PN, jadi kebolehan beliau tidak ada siapa yang boleh persoalkan.

“Saya rasa dengan gabungan dari kepimpinan ramai lagi kawan-kawan di Selangor ini saya rasa kita boleh ambil alih negeri Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette, malam tadi.

Wab Saiful berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang menyatakan PN meletakkan harapan besar kepada Azmin untuk memberikan “hadiah” kemenangan kepada gabungan itu dalam PRN akan datang.

Muhyiddin berkata, meskipun parti mereka adalah “parti miskin”, gerak kerja mereka akan memastikan kemenangan buat gabungan itu.

Ditanya sama ada gabungan PN mempunyai peluang cerah atas usaha merampas Selangor, Wan Saiful berkata, peluangnya amat tinggi.

“Gelombang rakyat itu masih ada dan ditambah lagi orang Selangor adalah yang berpendidikan, cerdik dan boleh fikir mengenai masa depan negara.

“Kalau dilihat keadaan semasa negara, jelas kerajaan yang ada di peringkat persekutuan tidak berjaya menangani pelbagai masalah yang ada. Dari segi idea pentabiran saya tidak nampak apa sebenarnya yang dibuat oleh kerajaan sekarang.

“Saya yakin ini akan menyumbang kepada kerajaan negeri Selangor tunjukkan tanda protes mereka sebagai referendum kepada kerajaan persekutuan dan mereka akan pastikan bahawa di Selangor PN boleh ambil alih,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut ditanya sama ada beliau akan diletakkan di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan gabungan untuk membuat keputusan.

“Saya rasa setakat ini tidak ada perancangan untuk bertanding di DUN kawasan Bangi tapi kita tunggu arahan parti, yang penting di kalangan kita apa sahaja tugas dan tanggungjawab yang diberikan kita laksanakan dengan baik.

“Tanggungjawab saya sekarang di Bangi kita boleh menang,” katanya. – MalaysiaGazette