PN Bersih
Gambar hiasan

SHAH ALAM –  Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. berkata, Pas akan bertanding di 18  kerusi di Selangor dan mahu membantu PN memenangi sejumlah 29 kerusi di negeri itu.

Keadaan itu juga bermakna PN Selangor dapat memenangi pilihan raya negeri di Selangor, seterusnya mentadbir negeri itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin gabungan PH-BN akan memenangi 45 kerusi, malahan boleh mencecah 50 kerusi dalam pilihan raya negeri untuk mentadbir dengan majoriti dua pertiga.

Roslan berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya umum dan hasil analisis dalaman, PN Selangor memerlukan kira-kira 70 peratus sokongan pengundi Melayu untuk memenangi kawasan majoriti kaum itu.

Beliau berkata, daripada 56 kerusi di Selangor, 33 daripadanya adalah mempunyai lebih daripada 60 peratus pengundi Melayu dan akan menjadi tumpuan Pas.

Katanya, hasil pengagihan kerusi PN mengikut parti akan diumumkan dalam satu majlis besar-besaran yang akan diadakan pada 24 Jun.

“Untuk calon pula, biasanya kami hanya akan membuat pengumuman rasmi menjelang hari penamaan calon,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Sementara itu, Amirudin berkata, PH dan BN mempunyai kelebihan tersendiri di Selangor dan gandingan dua pakatan dapat membawa kemenangan 45 kerusi.

Katanya, BN mempunyai jentera kempen yang kuat dan ramai penyokong setia sementara PH menunjukkan prestasi yang baik semasa mentadbir Selangor selama 15 tahun

“Bersatu selama ini mahu mengklon UMNO, tetapi yang ‘ori’ semestinya lebih baik daripada cetak rompak,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily ketika menerima wawancara akhbar berbahasa Cina.

Tambah Amirudin, PH juga mempunyai ramai penyokong di Selangor dan kempen PH yang kreatif mampu menyentuh emosi pengundi.

Katanya,  walaupun ada penyokong PH yang mengkritik kerajaan negeri, tetapi mereka tetap percaya PH adakah pilihan terbaik. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SELANGOR dalam “fasa” PERUBAHAN PENTADBIRAN KERAJAAN. SELANGOR menjadi “hub” pertama menguji DAP UMNO PKR sebagai PEMBANGKANG kelak.
    Disitu AKAN TERLAHIR “cinta sehatisejiwa atau porakperanda” ? Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI

Comments are closed.