Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya tidak akan bertolak ansur kerana perbuatan itu boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara ini.

“Janganlah sesekali buat apa-apa sebaran bersifat 3R, jika anda buat anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Keterhubungan di Perumahan Pantai Permai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.

Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar rang undang-undang berkenaan digubal segera bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Anwar berkata, rang undang-undang berkenaan akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber, serta menambah baik keberkesanan fungsi NACSA. – MalaysiaGazette