Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail

SABAK BERNAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi menggunakan kaedah lama atau ‘syok sendiri untuk mendekati pengundi khususnya anak muda apabila menganjurkan sesuatu program menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, bulan depan.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berkata, sebaliknya UMNO-BN perlu menganjurkan program yang diminati pengundi dan memberi sokongan kepada program yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar ini kita sentiasa menyantuni anak muda, tak kira bangsa mahupun golongan dan biasanya kita memenuhi kehendak mereka.

“Ini kerana zaman ini agak sedikit berbeza, bukan lagi kita nak program minta mereka ikut program kita.

“Dia lebih kepada program mereka, kita santuni mereka dan kita beri sokongan setiap program ingin mereka laksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Air Tawar, di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail bergambar bersama peserta Konvoi Bermotosikal Dun Sungai Air Tawar dan Pelancaran Dri Motorsports di Dewan Terbuka Sepak Takraw, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, hari ini.

Terdahulu beliau melepaskan Konvoi Bermotosikal Dun Sungai Air Tawar dan Pelancaran Dri Motorsports di Dewan Terbuka Sepak Takraw, Bagan Nakhoda Omar.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Air Tawar juga berkata, program bermotosikal itu sebenarkan adalah salah satu bentuk sokongan yang diberikan kepada kelab bermotosikal dan ia peluang terbaik untuk mendekati pengundi 18 tahun.

“Agak mengejutkan konvoi motosikal ini mendapat penyertaan seramai 500 peserta dan jumlah itu berjaya dikumpulkan seminggu sebelum program hari ini,” katanya.

Beliau juga menafikan program seumpama itu tidak bermusim malah usaha untuk mendekati pengundi dan anak muda berjalan sepanjang masa, tidak terhad pada musim pilihan raya sahaja.

“Sebenar program untuk menyantuni anak muda ini bukanlah berlaku pada musim PRN sahaja, UMNO-BN dan saya sendiri sentiasa mendekati dan mendampingi belia-belia khususnya di sekitar Dun Sg Air Tawar sepanjang masa.

“Kebiasaannya kita sentiasa memberi sokongan kepada mereka yang ingin mengadakan program,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast