Polis mengadakan operasi susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman. Gambar: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat buah motosikal selepas didapati dilakukan pengubahsuaian berlebihan dalam Operasi Motosikal dan Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) dan Bukit Permai dekat Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi pada pukul 11.30 malam Sabtu lalu dibuat berikutan aduan mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman.

“Hasil operasi berkenaan, empat motosikal ditahan kerana melakukan pengubahsuaian yang berlebihan pada pelbagai komponen sedia ada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 104 saman dikeluarkan ekoran kesalahan yang antaranya mengubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran, gagal mempamer lesen memandu/cukai jalan dan cermin sisi.

“Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan tidak mengubahsuai sebarang struktur sedia ada pada kenderaan sehingga membawa kepada pencemaran bunyi dan juga mengganggu ketenteraman awam.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya akan meneruskan operasi secara berterusan untuk membanteras pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” ujarya. – MalaysiaGazette