Pengarah Urusan Akademi Gabema, Mohd Norizwan Ali (dua dari kanan) dan Pengerusi Kuala Lumpur International Education Consortium Berhad, Datuk Daud Darus (dua dari kiri) hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penubuhan Pusat Akreditasi di antara Gabema Academy dan KLIEC baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Gabema Academy mengorak langkah ke hadapan apabila bekerjasama dengan Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC) bagi melahirkan pakar blockchain di negara ini.

Pengarah Urusan Gabema Academy, Norizwan Ali berkata, pihaknya akan bertindak sebagai Penyedia Latihan Bertauliah bagi program Profesional Diploma In Blockchain and Decentralized Finance yang mendapat akreditasi oleh London Examination Board (LEB).

Beliau berkata, program itu adalah satu inovasi dalam mendepani cabaran semasa dalam era yang semakin kompleks dengan perkembangan teknologi pesat dalam melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran relevan dan mengikut pasaran semasa.

“Dalam dunia yang serba pantas pada hari ini, perkembangan teknologi dalam dunia telah mengubah bentuk industri dengan kemunculan teknologi blockchain dan decentralized finance atau kewangan tidak berpusat.

“Kemunculan teknologi ini juga telah menyebabkan inovasi industri ke arah digital dan menyebabkan peningkatan permintaan bagi profesional yang berkemahiran dalam bidang ini dengan pengetahuan yang diperlukan.

“Bagi memenuhi keperluan pasaran, program Profesional Diploma In Blockchain and Decentralize Finance diperkenalkan dalam melahirkan pakar dalam bidang itu,” katanya.

Pengarah Urusan Gabema Malaysia, Mohd. Norizwan Ali.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penubuhan Pusat Akreditasi di antara Gabema Academy dan KLIEC dirasmikan oleh Pengerusi Gabema Malaysia, Datuk Benjamin Mohd Shariff dan Pengerusi KLIEC Berhad, Datuk Daud baru-baru ini.

Gabema Academy merupakan entiti pendidikan yang menawarkan pengajian dalam industri teknologi kewangan digital dengan barisan tenaga pengajar yang merupakan pakar dan menpunyai pengalaman yang sangat luas dalam industri.

KLIEC pula adalah sebuah pertubuhan perintis yang diasaskan di Malaysia dan berdedikasi untuk mempromosikan pendidikan serta latihan bertaraf antarabangsa sebagai jambatan memenuhi pasaran pendidikan global yang pesat berubah dan membangun di seluruh dunia.

Ketika ini, seramai 15 graduan diploma profesional itu sudah dilahir bagi pengambilan pertama dan pihaknya menyasarkan seramai 50 pelajar pada pengambilan kedua yang baru dibuka dengan sasaran keseluruhan seramai 1,000 pelajar pada akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Norizwan memberitahu, program itu memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan pengetahuan mereka menerusi modul yang diperkenalkan dalam tempoh enam bulan hingga 12 bulan.

Jelas beliau, melalui program itu, pelajar dapat memahami asas pembinaan blockchain, kewangan tidak berpusat, kontrak pintar, menganalisa dalam pasaran digital aset kripto dan dapat memastikan pelabur dan syarikat mematuhi undang-undang dan regulasi digital aset kripto. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast