Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil mencadangkan agar tribunal kehakiman ditubuhkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan isu melibatkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut beliau, saranan berkenaan berdasarkan peruntukan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan berkaitan salah laku hakim.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu juga menyarankan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat semula fakta melibatkan Nazlan demi memberi keadilan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya ingin menyarankan untuk tujuan keadilan dan mengelakkan penganiayaan supaya kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Anwar melihat semula tentang penglibatan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd pada tahun 2010.

“Dan bagaimana fakta ini menyebabkan ketidakadilan ke atas Datuk Seri Najib dalam penghakiman ke atasnya,” kata Isham dalam kenyataan.

Menurut Isham, mengikut fakta, Mohd. Nazlan tidak pernah mendedahkan bahawa beliau pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Kumpulan Maybank antara 2006 hingga 2015.

Mohd. Nazlan juga tidak memasukkan mana-mana kenyataan bahawa Maybank terlibat dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd pada 2010 sedangkan Maybank mempunyai peranan dalam penubuhan SRC.

Tindakan itu memberi asas kepada mana-mana pihak yang rasional bahawa Nazlan tidak dapat memberi kehakiman dengan minda yang objektif dan terbuka kerana penglibatan beliau dengan Maybank yang terlibat dengan penubuhan SRC.

Menurutnya, Maybank juga pernah menasihati 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menubuhkan SRC International sebagai sebuah syarikat khusus bagi tujuan perolehan aset strategik.

“Fakta berkenaan penglibatan Hakim Nazlan ini boleh menyebabkan penghakimannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berat sebelah dan bias.

“Walaupun tindakan Hakim Nazlan yang tidak menyatakan penglibatannya dengan Maybank ini mungkin tidak sampai ke tahap jenayah, namun ianya besar kemungkinan melanggar etika hakim dan adalah asas yang kuat untuk kes SRC Dato’ Sri Najib dibicarakan semula dengan hakim yang dilihat tidak berat sebelah dan tidak bias supaya keadilan dapat ditegakkan untuk semua.

“Satu tribunal kehakiman wajar ditubuhkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas perkara ini,” kata beliau.

Anwar hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan siasatan mereka terhadap Nazlan dan tidak menemukan sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah.

“SPRM telah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.

“Perkara ini telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Anwar kepada Dewan Negara pagi ini.

Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan membabitkan bekas presiden Umno Najib Razak yang berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau yang kini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan  didakwa terbabit dalam konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan tersebut dan melanggar kod etika. – MalaysiaGazette

Tiada bukti Nazlan lakukan kesalahan jenayah – PM