Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari . Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2023.

SUNGAI BULOH – Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperkukuhkan fungsi dan hala tuju Perbadanan Kemajuan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Timbalan menterinya, Adly Zahari berkata, langkah itu akan dilaksanakan untuk memastikan perbadanan itu menjadi penghubung kepada kerjaya kepada bekas tentera.

Katanya, kajian kecenderungan Kerjaya Pelatih yang dijalankan PERHEBAT mendapati sekitar 82.6 peratus anggota berhasrat menjalankan perniagaan manakala 17.4 peratus mahu bekerja dengan majikan.

“Berdasarkan perangkaan ini, saya optimis dengan bimbingan dan khidmat nasihat daripada PERHEBAT veteran dalam julat umur 33 hingga 42 tahun yang dilengkapi dengan kemahiran, kepakaran, jati diri dan disiplin tinggi akan mampu mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

“Jadi jawatankuasa itu secepat mungkin..sebenarnya sudah lama wujud tetapi fungsinya menghubungi bekas tentera dan mengumpul data maklumat, maka kita akan kemaskini dan menstruktur semula jawatankuasa itu agar ia menjalankan penilaian lima tahun pertama secara khusus ke arah hala tuju lebih berfokus.

“Dalam hal ini, berbanding hanya 2,000 bekas tentera yang berjaya dihubungi sebelum ini, sepanjang tempoh itu kita akan cuba mendapatkan semula lebih 5,000 bekas tentera yang terputus hubungan dan menyediakan pengkalan datanya semula,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Diploma Sijil Kemahiran Malaysia dan Penyampaian Sijil PERHEBAT kepada 606 penerima diploma dan sijil kepada anggota dan veteran ATM di sini hari ini.

Tambah Adly, jawatankuasa itu juga akan membantu melaksanakan set kemahiran yang disediakan untuk mereka sebagai persediaan menghadapi kerjaya kedua.

Katanya, jawatankuasa yang sama juga menyasarkan lebih 90 peratus dicula kerja mereka semula supaya tahan latihan yang diberikan dapat dipertingkat mengikut pasaran semasa.

“Kerajaan untuk tujuan itu menyediakan peruntukan RM5 juta untuk upskill dan reskill mereka kalau tiada respon daripada mereka maka sukar untuk kita melaksanakan program tersebut.

“Antara punca mereka gagal dikesan adalah ada yang sudah menukar nombor telefon dan juga alamat majikan selain ada yang sudah berhijrah di kampung dan sebagainya tetapi tidak mengemaskini alamat tempat tinggal sekaligus menyukarkan kita mengumpul data mereka semula,” katanya.

Untuk itu, jawatankuasa khas itu kelak akan mengambil tanggungjawab itu untuk menangani masalah tersebut bagi menjamin kerjaya kedua dan survival ekonomi mereka lebih terjamin. – MalaysiaGazette