Peniaga Astaka Mutiara Selera berkumpul di Komtar bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kira-kira 33 peniaga Astaka Mutiara Selera di Tanjung Bungah di sini mendesak campur tangan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung kadar sewa baharu yang didakwa naik sehingga 2,500 peratus.

Rata-rata mereka menyifatkan kadar sewa baharu berjumlah RM900 sebulan bukan sahaja membebankan malah bakal mengakibatkan mereka gulung tikar.

Menurut peniaga makanan laut dan ikan bakar, Daniel Chow, 42, kadar sewaan baharu itu tidak masuk akal bagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan.

Daniel.

“Hampir 23 tahun saya berniaga di astaka itu dengan kadar sewa RM36 sebulan dan kita faham mungkin kadar itu agak rendah tapi kami tak sangka kenaikan ia sampai RM900.

“Rata-rata peniaga ingat kadar sewa antara RM300 hingga RM350 sebulan selepas syarikat yang dilantik Chief Minister Incoperated (CMI) mengambilalih astaka daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang susulan kebakaran pada 2020,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar)  hari ini.

Terdahulu, kira-kira 33 peniaga astaka terbabit berkumpul di Komtar bagi mengemukakan bantahan kenaikan kadar sewa baharu itu.

Memorandum tersebut diserah kepada Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri Zahar Zainol.

Wakil peniaga menyerahkan memorandum kepada Zahar selaku wakil ketua menteri.

Memorandum terbabit mengandungi gesaan supaya CMI menarik balik kenyataan kenaikan sewa yang tidak masuk akal selain mendesak supaya astaka berkenaan diambil alih semula oleh MBPP.

Menurut peniaga capati, S. Sundra, 43, sudah hampir tiga tahun dia hilang pendapatan disebabkan astaka itu dalam pembinaan semula akibat kebakaran.

Sundra.

Jelasnya, dia dan isteri yang mengharapkan pendapatan daripada hasil niaga itu tidak sangka penantian mereka dirumitkan lagi dengan kadar sewa lebih tinggi.

“Saya perlu bayar sewa RM900, kos bahan untuk menyediakan capati jadi berapa saya nak jual kepada pelanggan? Kalau jual mahal pelanggan tak akan beli dan lama-lama saya kena gulung tikar,” katanya.

Sementara itu, Maryani Mat Yunus, 61, berkata, pada perbincangan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari berjanji bayaran sewaan baharu yang dikenakan adalah pada kadar rendah iaitu tidak melebihi RM350 sebulan.

Maryani.

“Kami difahamkan, jika kami bersetuju dengan kadar sewaan baharu itu, peniaga boleh berpindah masuk dan mula berniaga pada 1 Julai depan.

“Pada masa ini, kami berada dalam keadaan buntu dan berharap ada jalan penyelesaian segera,” katanya. – MalaysiaGazette