Senator Mohd Apandi Mohamad
Senator Mohd Apandi Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan disaran untuk memasukkan golongan di peringkat kampung dalam pasukan intervensi bagi menangani kes cubaan bunuh diri.

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, individu seperti ketua kampung, imam dan ketua agama di rumah panjang di Sabah dan Sarawak perlu diberi peluang untuk menyertai kumpulan itu bagi menangkap orang yang cuba membunuh diri.

“Saya mencadangkan kalau boleh kerajaan menambah anggota yang boleh menjadi pegawai intervensi bukan setakat pegawai polis, maritim, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pegawai Kebajikan Masyarakat, ia mesti memasukkan ketua kampung bersama iman atau ketua agama untuk mengatasi masalah kesihatan mental.

“Tapi mesti ada ketua kampung bersama ketua agama, kalau di komoditi muslim, imam bersama ketua kampung dan dicampur dengan anggota polis.

“Mereka ini harus bersama jika tidak dimasukkan ketiga-tiga ini, nanti kesan dia mereka akan didapati bersalah kerana menggeledah rumah orang,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 untuk bacaan kali kedua, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Apandi berkata, kadar pegawai yang dimasukkan dalam pasukan intervensi dilihat tidak mencukupi untuk meliputi masyarakat khususnya di luar bandar.

Justeru itu, pelaksaan untuk memasukkan ketua kampung, imam dan ketua-ketua agama perlu bagi membendung cubaan bunuh diri ini.

“Saya nak cadangan individu-individu yang dibenarkan untuk masuk campur dalam kes cubaan bunuh diri ini tidak cukup dan memadai dengan apa yang dibentangkan di dalam pindaan akta ini.

“Ia hanya menggariskan pegawai polis, mereka hanya ada di ibu penjabat polis daerah sahaja. Kalau yang di kampung walaupun ada penduduk 10,000 belum tentu ada pejabat polis daerah.

“Pegawai hanya ada di ibu pejabat polis daerah, sedangkan penduduk di sana tidak kurang dari 20,000 hingga 30,000. Jadi bayangkan satu pertiga memang tidak ada kepuyaaan dari pihak kerajaan,” katanya.

Pada Mei lalu, Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat yang antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh berkata, pindaan itu bertujuan meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615), susulan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574). – MalaysiaGazette