SESUATU yang memeranjatkan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan pada tahun 2022 hampir 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini menurut PMX adalah suatu masalah yang terpaksa diwarisi, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hampir dua tahun (2020-2021) telah menyebabkan segelintir pelajar hilang minat untuk menamatkan pendidikan tahap menengah tinggi secara sempurna.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad menyatakan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis sistem pendidikan sehingga gagal membina struktur modal insan yang berkeupayaan tinggi. Kenyataan tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan Bank Dunia yang melaporkan bahawa sumber manusia di Malaysia yang mempunyai bakat serta kemahiran tinggi semakin menurun tahun demi tahun.
Gesaan oleh Dr. Anuar Ahmad yang ingin supaya suatu langkah drastik dilakukan telah disahut oleh PMX. Arahan telah dikeluarkan kepada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir semasa ujian SPM pada 2022 untuk menduduki semula SPM atau beralih ke Program Pusat Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET). PMX menyatakan kerisauan terhadap kesemua pelajar yang tercicir tersebut kerana majoritinya merupakan golongan desa dan miskin bandar yang terdiri daripada etnik Melayu dan India.
Mobilisasi sosial tidak akan berlaku kepada golongan tersebut tanpa asas pendidikan yang cemerlang, tidak mungkin mereka dapat melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan jika tidak diberi peluang pendidikan kali kedua. Kesannya bukan sahaja kepada diri pelajar tersebut, malah Malaysia yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi akan turut mendapat kesan untuk jangka masa panjang.
YB Fadhlina Sidek telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan mendalam bersama beberapa kementerian lain bagi memahami punca sebenar ketidakhadiran calon SPM untuk menduduki peperiksaan berkenaan. Pada masa sekarang langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh KPM menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying adalah untuk berusaha menambah baik sistem pengajaran serta pembelajaran berasaskan teknologi dan digital untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan. KPM akan meneruskan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan guru-guru dalam mendidik murid-murid.
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh usaha yang cuba dilakukan oleh KPM, namun perlu diingatkan bahawa pembangunan belia (termasuk dalam bidang akademik) tidak hanya bergantung kepada teknologi dan persekitaran persekolahan semata-mata. Para pelajar perlu dilibatkan bersama pertubuhan belia bagi membantu mereka membina jati diri, tanpa jati diri yang mantap maka mereka akan hanyut dalam mengejar impian yang sia-sia seperti menjadi jutawan berasaskan kandungan media sosial.
Kepentingan pendidikan lebih besar daripada matlamat untuk mengumpul kekayaan material keduniaan, pendidikan perlu dilihat sebagai ‘kenderaan’ untuk mengangkat status individu dan negara. Justeru MBM sentiasa bersedia menjadi rakan pembangunan negara bersama KPM bagi membantu membawa kembali hampir 30,000 pelajar yang tercicir semasa SPM 2022 untuk kembali ke dunia akademik. MBM yang mempunyai pekerja belia dalam semua peringkat yakin mampu untuk membantu mengembalikan semangat para pelajar yang telah tersebut, melalui pembentukan jati diri yang mantap maka fokus para pelajar tersebut akan mampu dibentuk kembali.
Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia/Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM