Lim Kit Siang.-Foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan runtuh sebaliknya menjadi peluang kepada para pengundi melihat Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi.

Pemimpin veterannya, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri kerana ahli Parlimen sekarang terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

“Saya bersetuju dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengatakan sukar dari “segi angka” untuk Kerajaan Persekutuan tumbang selepas pilihan raya umum di enam negeri pada Ogos.

“Ini memandangkan undi tidak percaya tidak akan terjadi di Parlimen kerana ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh menukar parti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kerajaan Pusat akan tergugat dan tidak mustahil jatuh jika Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah serta menawan Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN akan datang.

Dalam pada itu, Kit Siang juga berkata, PRN di enam negeri  mempunyai kepentingan lebih besar daripada menumbangkan Kerajaan Perpaduan iaitu Malaysia kembali kepada prinsip asal pembinaan sebuah negara majmuk.

“Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk menghentikan kemerosotan yang disaksikan selama ini menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia.

“Kita sudah ada permulaan dengan tujuh bulan bersama Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adakah rakyat Malaysia akan mengabaikan usaha besar untuk menyelamatkan negara atau kembali kepada sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk dalam dekad-dekad yang akan datang?

“Inilah pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Malaysia di enam negeri yang berhadapan dengan PRN pada Ogos ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette