Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia, Tan Sri Musa Hassan hadir bagi menyerahkan Penyataan Tambahan Dan Aduan Bersama Mangsa-Mangsa Penipuan Syarikat Pelaburan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 JUN 2023

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertindak selepas hampir 500 mangsa menjadi ‘korban’ skim pelaburan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, suruhanjaya berkenaan harus bertanggungjawab kerana skim tersebut diperuntuk di bawah bidang kuasa SSM.

“Saya gesa SSM bertanggungjawab kerana untuk mengeluarkan sebarang skim pelaburan, ia perlu didaftarkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) dan pihak yang perlu mengambil pendaftaran adalah SSM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, MHO turut menggesa agar SSM membuat kenyataan mengenai Seksyen 4 (2) agar orang ramai mendapat pencerahan bahawa saham khas boleh tebus itu di bawah penguatkuasaan mereka, sekali gus menunjukkan SSM mempunyai peranan membendung isu terbabit.

Datuk Hishamuddin Hashim

Menurut Hishamuddin, ramai mangsa mula mengadu tidak menerima bayaran dividen yang dijanjikan syarikat pelaburan sehingga ada syarikat menipu kononnya pulangan dividen boleh mencecah enam peratus sebulan.

“Ada syarikat juga yang telah menebus semula saham kepentingan boleh tebus itu dengan menjanjikan bahawa wang pokok atau modal yang dilaburkan oleh para pelanggan akan dipulangkan semula kepada mereka, namun akhirnya syarikat itu hilang tanpa boleh dijejaki,” ujarnya.

Ratusan mangsa penipuan skim pelaburan yang hadir untuk menyerah penyataan tambahan mengenai aduan mereka di SSM Kuala Lumpur.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan turut mendedahkan taktik syarikat tersebut menipu orang ramai.

Katanya, syarikat berkenaan akan menerbitkan saham kepentingan boleh tebus islamik (RPS-i) dan bukan islamik (RPS).

Selain itu, orang ramai juga akan dikaburi dengan perjanjian langganan berkonsepkan produk islamik sukuk, produk islamik murabahah dan langganan saham berkonsepkan wang amanah.

Melalui kaedah itu, mereka akan melantik sebuah syarikat yang akan bertindak sebagai pemegang amanah sebelum menggunakan duit pelaburan yang diterima untuk dilaburkan oleh pemegangnya.

“Namun semua tawaran ini tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang mengawal selia syarikat pelaburan di negara ini.

“Kita ada Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Syarikat 2016, Capital Markets and Services Act 2007, Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 dan banyak lagi. Tiada kelompongan undang-undang cuma penguatkuasaan dari pendaftar sahaja yang kurang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kebanyakan mangsa yang ditemui MalaysiaGazette berkongsi mereka kerugian antara RM20,000 hingga RM150,000 selepas melabur dalam sebuah syarikat yang diperkenalkan rakannya.

Mereka meluahkan rasa kesal selepas terpedaya dengan syarikat pelaburan berkonsep tebus Islamik yang menawarkan keuntungan empat peratus sebulan, akhirnya syarikat itu gagal dihubungi selepas modal diserahkan.

Antara yang menjadi mangsa adalah dalam kalangan warga emas yang ingin menambah pendapatan bulan selepas mendapat wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa pekerja sektor gig.

Sehubungan itu, MHO dan MCCC berharap SSM tampil bertindak kerana sebarang kelewatan hanya membawa lebih ramai mangsa yang tertipu memandangkan iklan haram tersebut masih berleluasa terutama di media sosial. – MalaysiaGazette