Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bergambar bersama bas Hino Poncho Zev pada Majlis Perasmian Mara Brew Õ23 di Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Mana-mana parti masih boleh ‘cuba nasib’ masing-masing untuk membuat tuntutan kerusi bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak kira Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – mereka boleh membuat rundingan kerusi namun perkara itu diputuskan oleh pimpinan tertinggi.

“Semua orang boleh minta tapi akhirnya kita bersepakat dalam mesyuarat serahkan kepada kebijaksanan kepimpinan tinggi parti. Kita juga bersetuju dan akur dengan apa sahaja keputusan sebab 99.7 peratus sudah selesai (agihan kerusi).

“Jadi tiada isu sebenarnya, biasalah mungkin yang akan minta dan sebagainya itu mahu cuba-cuba nasib di saat akhir daripada presiden masing-masing,” katanya.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2023.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan dua buah bas elektrik pertama yang beroperasi di dunia keluaran Hino Motors dan Program Mara Brew’23 di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor menggesa pemimpin parti politik dalam gabungan kerajaan supaya bersikap adil dalam pembahagian kerusi pada PRN nanti.

Ketuanya, Abdul Mun’im Roslin menyatakan rasa tidak bersetuju dengan hasrat UMNO untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam dan DUN Batang Kali.

Kerusi DUN Hulu Bernam kini disandang oleh Rosni Sohar dari BN manakala Batang Kali pernah disandang oleh BN sebelum dikalahkan kali pertama Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mengenai status pengagihan kerusi enam negeri menghadapi PRN nanti, Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata,  rundingan kini hanya tinggal 0.03 peratus sahaja. – MalaysiaGazette