DAMANSARA – Pas yang merupakan parti gabungan Perikatan Nasional (PN) menerima kerusi terbanyak pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas memperoleh 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“PN akan bertanding di semua 245 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan.
“Bersatu mendapat 83 kerusi, Pas 126 kerusi dan Gerakan 36 kerusi,” katanya dalam sidang media selepas memuktamadkan rundingan kerusi petang ini, di ibu pejabat gabungan itu.
Jelas Muhyiddin, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 245 kerusi yang akan ditandingi di keenam-enam negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata jumlah kerusi baharu yang akan ditandingi pula melibatkan Bersatu adalah 64 kerusi, Pas 50 kerusi dan Gerakan 36 kerusi.
“Perikatan Nasional ingin memaklumkan Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional di peringkat Negeri-Negeri ketika in adalah di tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri dalam mempertahankan tiga negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan tiga negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan),” katanya lagi.
Ditanya sama ada daripada 245 kerusi yang akan ditandingi oleh PN itu akan turut meletakkan Khairy Jamaluddin, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak dibincangkan.
“Kita belum namakan calon. Tak tau kalau Pas dah namakan (KJ sebagai calon),” jawab Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan menggunakan logonya di empat negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
“Setakat hari ini, kita kekalkan, Kelantan dan Terengganu akan guna logo Pas kecuali pimpinan Pas nak pakai logo PN.
“Baki semua itu akan guna logo PN,” katanya lagi.
Sementara itu, Muhyiddin berkata poster boy gabungan tersebut untuk PRN di enam negeri tidak dibincangkan pada mesyuarat kali ini.
“Apapun biasanya kalau PRN itu tak payah tanya lah. Sampai masa orang tahu atau di sesetengah tempat semua dalam Pas, Bersatu dan Gerakan, semua poster boy,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















