Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) memakaikan pangkat kepada Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid (kanan) sambil diperhatikan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai timbalannya dilihat sebagai permulaan kepada era baharu kepimpinan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang hadir menyampaikan watikah pelantikan, serah terima jawatan serta tongkat kuasa kepada mereka menyifatkan kedua-duanya memikul tanggungjawab dan amanah berat  untuk membawa institusi polis berusia 216 tahun itu ke tahap lebih tinggi.

“Harapan saya sangat jelas dan keyakinan sangat utuh bahawa PDRM di bawah Razarudin dan Ayob Khan dapat meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan kepimpinan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Acryl Sani Abdullah yang akan mengakhiri khidmatnya esok.

“Dengan gabungan baharu bersama Ayob Khan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara hari ini, saya percaya ini adalah gandingan mantap yang sangat baik kerana pengalaman Razarudin, kualiti kepimpinan yang ditunjukkan Ayob selama ini akan membolehkan polis khususnya untuk meneruskan reputasi sebagai pengkuat kuasa undang-undang terbesar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara membabitkan Acryl Sani, Razarudin Husain dan Ayob Khan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai pengganti calon untuk mengisi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oAyob Khan, Saifuddin berkata, perkara itu akan ditentukan kemudian.

“Itu belum diputuskan lagi, kita selesaikan pelantikan IGP dan DIG ini dulu, baru akan fokus perkara itu (Pengarah JSJ) kemudian,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast