air percuma
Ahmad Yunus Hairi

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor diminta memberi air percuma secara automatik di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan Skim Selangor Free Water Apartment (SAFWA) kepada kira-kira 650,000 pemegang akaun yang layak.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, setakat ini, hanya 301,453 akaun sahaja yang sudah memohon dan berdaftar untuk mendapatkan kemudahan air percuma.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai pelik kerana hanya 46.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang akaun yang layak sahaja berdaftar, seolah-olah program tersebut kurang mendapat sambutan daripada rakyat.

“Benarkah rakyat tak terliur dengan air percuma ini atau kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang tidak ambil berat dengan keperluan asas rakyat?

“Malah adakah kerajaan PH ini mahu mengurangkan peruntukan untuk keperluan rakyat ini dengan helah menyukarkan permohonan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri Selangor sepatutnya menghapuskan kerenah birokrasi sekiranya benar-benar ikhlas mahu membantu golongan yang susah.

Sebagai perbandingan, beliau memberitahu, semasa Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor dahulu, hampir 1.6 juta pemegang akaun menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan.

Ahmad Yunus menambah, kos pemberian air percuma semasa era pentadbiran Abdul Khalid adalah RM180 juta setahun manakala SADE pula melibatkan kos RM40 juta setahun.

“Kerajaan negeri Selangor beritahu penjimatan ini dilakukan untuk disalurkan kepada program kebajikan rakyat yang lain.

“Rakyat sudah bosan dengan alasan sebegini kerana sedia maklum Selangor adalah sebuah negeri kaya, simpanan pun banyak tapi masih mahu usik kebajikan rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Selangor beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan kebajikan mereka tidak terus diabaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast