Inovasi pembungkusan nasi lemak ahli kumpulan Mak-Zee yang tidak menggunakan dawai kokot dan mempunyaiembahagian sambal timun dan nasi di dalamnya.

SERDANG, 21 Jun – Tampil dengan inovasi lipatan pembungkusan nasi lemak yang unik serta menggunakan santan kelapa sawit telah memberikan tuah kepada sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM 2023, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan kumpulan Mak-Zee Sdn Bhd yang diketuai oleh pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Mas Amalia Mohd Effendi membawa pulang wang
kemenangan RM2,000.

Beliau berkata, cetusan ideanya itu timbul berikutan kecintaannya pada makanan tradisi orang Melayu iaitu nasi lemak yang tidak tahan lama jangka hayatnya apabila dibungkus
sekali bersama timun dan sambal.

“Kami telah berusaha untuk memanjangkan jangka hayat hidangan nasi lemak pada suhu bilik untuk menangani isu hidangan itu mudah rosak selain membawa kelainan baharu
dalam pembungkusannya.

“Penggunaan santan sawit menggantikan santan kelapa memberi manfaat kepada si pemakan kerana santan sawit bebas kolesterol tanpa lemak tran.” katanya.

Ahli kumpulan Mak Zee menerangkan produk inovasi kepada para pengunjung semasa Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM 2023.

Tambahnya lagi, nasi lemak yang dibalut dengan unik menerusi teknik lipatan tanpa menggunakan dawai kokot serta mempunyai pembahagian antara nasi, sambal dan timun menggunakan plastik terbiodegradasi memberikan nasi lemak kekal segar lebih lama.

Program yang bertemakan ‘Inovasi Penggerak Industri Makanan’ itu memberi tumpuan kepada penyelesaian yang dihadapi oleh industri makanan seperti pemanjangan jangka
hayat serta penambahbaikan ciri-ciri fizikokimia dan kandungan nutrisi produk secara amnya.

Mas Amalia yang merupakan pelajar tahun tiga turut meluahkan rasa terkejutnya dan tidak menyangka hasil inovasi makanan bersama tujuh ahli kumpulannya itu berjaya menambat
hati para juri yang merupakan pemain industri makanan.

“Hampir 14 minggu saya dan ahli kumpulan bertungkus lumus menyiapkan produk ini dan sememangnya sudah banyak kali saya rasa berputus asa tidak mahu lagi meneruskan
projek ini. Pada saat akhir juga, saya dan ahli kumpulan masih mengubah video projek makanan ini.

“Saya lihat ahli kumpulan lain semuanya hebat. Jadi saya tidak pernah jangka kumpulan kami akan menjadi juara tambahan pula sumber bahan uji kaji untuk penilaian mikrobiologi
tidak mencukupi dan pernah hasil uji kaji penilaian makmal kumpulan kami gagal. Jadi kami perlu buat lagi sekali,” jelasnya. – MalaysiaGazette